Berikut merupakan sebahagian data-data penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data PMI Zon Eropah (Isnin 4.15 Petang): Sesi pasaran Eropah untuk permulaan awal minggu akan dihiasi oleh bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan bermula dengan Perancis, kemudian Jerman sebagai ekonomi terbesar. Seterusnya bakal menyusul data PMI bagi keseluruhan zon Eropah yang akan memberi petunjuk bagi aktiviti ekonomi dan mempengaruhi dagangan dolar Euro.
Data PMI UK (Isnin 5.30 Petang): Bacaan awal PMI telah dikemaskini sebelum pilihan raya dan berkemungkinan tidak memberi impak yang besar, namun tetap akan menggerakkan matawang Pound. Kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka mencatatkan bacaan yang meningkat bagi bulan Disember.
Minit Mesyuarat Bank Pusat Australia (Selasa 8.30 Pagi): Sesi Asia pada Selasa akan memberi tumpuan terhadap minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) untuk petunjuk bagi mesyuarat dasar monetari seterusnya pada Februari 2020 setelah kadar faedah dikekalkan pada mesyuarat terakhir tahun ini.
Laporan Data Pekerjaan UK (Selasa 5.30 Petang): Kadar pengangguran mencecah paras terendah sejarah di paras 3.8% pada September lalu dan dijangka meningkat semula kepada 3.9% untuk laporan kali ini. Indeks purata pendapatan juga dijangka menurun dan kedua-dua bacaan data ini bakal mempengaruhi keputusan dasar bank pusat.
Iklim Perniagaan Jerman Tinjauan Ifo (Rabu 5.00 Petang): Tinjauan perniagaan bagi ekonomi terbesar di zon Eropah ini akan menjadi perhatian pelabur bagi mengukur tahap kesihatan ekonomi dan memberi petunjuk awal terhadap aktiviti ekonomi di masa akan datang termasuk perbelanjaan dan pelaburan.
Data Inflasi UK (Rabu 5.30 Petang): Indeks harga pengguna tahunan di UK telah mencatatkan penurunan ke paras 1.5%, terendah hampir 3 tahun pada Oktober lalu dan dijangka sedikit meningkat pada bacaan kali ini. Bacaan teras diramal kekal di paras 1.7%.
Laporan Data Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Malam): Pasaran buruh di Australia mencatatkan kemerosotan pada Oktober apabila kehilangan sejumlah 19,000 pekerjaan. Pasaran menjangkakan pertambahan pekerjaan kembali meningkat sekitar 15,000 bilangan pada November sementara kadar pengangguran diramalkan kekal di paras 5.3%.
Mesyuarat Dasar Monetari Bank Pusat England (Khamis 8.00 Malam): Bank of England (BOE) bakal mengumumkan penetapan kadar faedah bagi mesyuarat edisi Disember. Menjadi perhatian pasaran pada mesyuarat sebelum ini adalah terhadap undian penurunan kadar oleh 2 ahli jawatankuasa mesyuarat.
Data Pertumbuhan GDP UK (Jumaat 5.30 Petang): Bacaan akhir bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di UK dijangka akan disahkan pada bacaan 0.3% di mana menunjukkan ekonomi UK berjaya mengelak daripada situasi kemelesetan. Penurunan bacaan akan memberi sedikit tekanant terhadap dagangan Pound.
Data Pertumbuhan GDP AS (Jumaat 9.30 Malam): Bacaan kedua bagi GDP suku ketiga di Amerika Syarikat telah mengejutkan pasaran dengan peningkatan kepada 2.1% pertumbuhan tahunan lebih baik berbanding 1.9% pada laporan sebelumnya. Bacaan ketiga dan terakhir dijangka kekal di paras tersebut. Sebarang perubahan akan mempengaruhi pergerakan pasaran dengan kecairan yang tipis berikutan ramai pelabur dijangka telah keluar dari pasaran untuk persediaan menyambut perayaan Krismas.