1MDB – Pelobi Jho Low Bakal Mengaku Bersalah

496

Bekas pengumpul dana kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump iaitu Elliot Broidy dijangka mengaku bersalah pada minggu hadapan atas pertuduhan melobi secara haram pentadbiran Trump untuk menggugurkan siasatan terhadap skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan menerusi dokumen mahkamah yang difailkan semalam.

Broidy dijangka hadir di mahkamah Persekutuan di Washington pada Selasa hadapan bagi mendengar keputusan mengenai rayuannya.

Broidy didakwa bersetuju menerima wang berjumlah jutaan dolar untuk melobi Trump dan Jabatan Kehakiman supaya menamatkan siasatan terhadap ‘seorang ahli perniagaan kaya yang tinggal di Asia Timur’ ekoran peranan ahli perniagaan dalam skandal 1MDB.

Pertuduhan itu bagaimanapun tidak menyebut identiti sebenar ahli perniagaan tersebut.

Dokumen mahkamah yang difailkan pada awal bulan ini menunjukkan Broidy turut didakwa melobi pentadbiran Trump untuk mengatur penghantaran pulang seorang taikun China, Guo Wengui yang tinggal di AS ke China.

Broidy merupakan pengumpul dana utama bagi parti Republikan selama beberapa tahun dan pernah memegang jawatan sebagai pegawai kanan kewangan bagi kempen Presiden Trump pada 2016.

Beliau merupakan individu terbaharu yang mempunyai kaitan dengan Trump, disabitkan dengan dakwaan jenayah menjelang pilihan raya Presiden pada 3 November ini.

Sebelum ini, bekas pengerusi kempen Trump, Paul Manafort didapati bersalah melanggar Akta Pendaftaran Asing AS kerana melobi untuk ahli-ahli politik pro-Rusia di Ukraine.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat