5 Sebab Yang Mendorong Pelabur Memilih Posisi Jualan Ke Atas Dagangan USD

680

Dolar Amerika terus diniagakan lemah sehingga penghujung minggu dengan kecenderungan pelabur yang lebih memilih posisi jualan ke atas matawang USD dengan berpandukan beberapa faktor.

Setelah diteliti, berikut adalah beberapa faktor yang mendorong penurunan nilai dagangan USD dalam tempoh masa yang terdekat ini.

Faktor utama yang menjadi sandaran pelabur adalah jangkaan Federal Reserve yang bakal menurunkan kadar faedah untuk penetapan polisi monetari yang akan datang.

Jangkaan kuat bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Julai. Namun, persoalan adalah nilai pemotongan kadar sama ada 25 mata asas atau kepada 50 mata asas. Pelabur juga turut menilai isyarat untuk kekerapan penurunan kadar bagi baki mesyuarat sehingga penghujung tahun 2019 ini.

Kedua, masih berkaitan faktor fundamental bank pusat, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat iaitu Steven Mnuchin baru-baru ini seakan memberi isyarat terhadap perubahan polisi bagi matawang dolar Amerika.

Beliau mengatakan bahawa tiada perubahan terhadap polisi matawang “buat masa ini”, memberi isyarat bakal ada perubahan oleh kerajaan untuk menyokong kenaikan dolar di masa akan datang.

Selain itu, berdasarkan data ekonomi pula, data pendapatan yang mengecewakan di Amerika Syarikat telah mendorong kejatuhan pada pasaran saham ke paras lebih rendah dengan merekodkan penurunan 4 hari berturut-turut.

Seterusnya, jika diperhatikan secara teknikal, pemerhatian pada pasangan matawang USD/JPY telah mencatatkan penurunan ke paras terendah terbaru pada bulan ini menandakan peningkatan risiko terhadap dagangan dolar Amerika.

Pergerakan harga pada carta USD/JPY boleh dijadikan sebagai petunjuk sentimen disebabkan dolar Amerika yang dipadankan bersama matawang safe-haven Yen. Sentimen pasaran yang berisiko akan mendorong permintaan terhadap pelabur yang lebih selamat dan pulangan yang rendah dan antara yang menjadi tarikan adalah Yen dan Swiss franc.

Dan terakhir, menyentuh faktor geopolitik, selain rundingan dagang AS-China yang masih tidak berpenghujung, sentimen pasaran juga menerima tempias ekoran kebimbangan terhadap ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Iran masih mendesak supaya kapal tangki minyak dan anak-anak kapal mereka dibebaskan daripada tahanan, sementara insiden terbaru pula melaporkan bahawa kapal perang jenis amfibia milik Amerika Syarikat telah menembak jatuh dron milik Iran sebagai tindakan pertahanan.

Faktor-faktor yang disenaraikan ini mendorong pelabur untuk memilih posisi jualan ke atas dagangan USD dan dijangka matawang Amerika Syarikat tersebut akan terus diniagakan lemah sehingga menjelang mesyuarat polisi monetari pada akhir bulan ini.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat