50, 50, 50, 50! Pasaran Aset Berisiko Bergoncang Kerana Bank Pusat

172

Pelaksanaan kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh 4 bank pusat utama dunia semalam; Federal Reserve (Fed), Swiss National Bank (SNB)Bank of England (BOE) dan, European Central Bank (ECB) membantutkan keuntungan pasaran ekuiti.

Ia merupakan pengetatan dasar polisi terakhir oleh bank-bank pusat untuk tahun ini dalam usaha mereka untuk mengawal kadar inflasi yang memuncak, diapit situasi global yang menggusarkan.

Selain itu komen-komen susulan juga memberi bayangan dasar pengetatan tidak akan diperlahankan untuk tahun depan walaupun terdapat penguncupan kecil kadar inflasi terutamanya di Amerika Syarikat (AS).

Ekoran itu Wall Street mengakhiri sesi dagangan di wilayah negatif dengan Dow Jones Industrial susut 2.25%, S&P 500 turun 2.5% dan Nasdaq Composite jatuh 3.2%.

Di Eropah, STOXX 600 jatuh 2.85% selepas BOE dan ECB menaikkan kadar sebanyak setengah mata asas semalam sementara tolok meluas MSCI saham global junam 2.5%.

Sesi dagangan pagi ini di Asia menyaksikan S&P/ASX 200 Australia turun 0.98%, Nikkei 225 Jepun jatuh 1.37%, Topix gugur 0.85% dan Kospi Korea Selatan junam 0.68%.

Turut menjadi tumpuan semalam adalah data jualan runcit AS yang menyaksikan kejatuhan terbesar pada -0.6% berbanding unjuran -0.2% dan jauh meninggalkan catatan bulan lepas pada 1.3%.

Mengulas keadaan pasaran adalah Christian Hoffmann dari Thornburg Investment Management dengan mengatakan minat belian pudar dengan kebimbangan inflasi mencemarkan pelabur tatkala pasaran mencari pemangkin negatif lain.

Dalam pada itu hasil Perbendaharaan yang bergerak bersongsangan dengan harga jatuh walaupun bon di Eropah memperlihatkan kenaikan.

Nota 10 tahun turun 4.9 mata asas pada 3.454% dan hasil 30 tahun susut 3.4 mata asas pada 3.505%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat