6.4 Juta Dos Vaksin Untuk Malaysia!

298

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10% lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Beliau berkata, ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40%, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer.

Lapor Bernama, menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30% rakyat negara ini.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70% rakyat.

Tambah beliau, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

“Vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” tegas beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sedar usaha mencegah pandemik Covid-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih pada kadar segera.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat