7 Berita Data Ekonomi Penting Tumpuan Pasaran Minggu Ini (17-21 Oktober 2022)

467

Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Data Inflasi New Zealand (Selasa 5.45 Pagi): Indeks harga pengguna New Zealand untuk bacaan suku ketiga akan diberi tumpuan untuk menilai kesan pengetatan dasar oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) sebelum ini. Jangkaan kadar inflasi terbaru menurun dari 1.7% kepada 1.5%.

Minit Mesyuarat Bank Pusat Australia (Selasa 8.30 Pagi): Butiran pada minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) akan diteliti pelabur selepas kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan berbanding jangkaan pasaran sebelum ini. Sebarang petunjuk lebih dovish akan memberi kesan penyusutan terhadap dolar Australia.

Data KDNK China (Selasa 10.00 Pagi): Pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia ini boleh memberi kesan terhadap perubahan sentimen pasaran semasa. Data terbaru diramalkan meningkat walaupun China masih bergelut menangani krisis penularan coronavirus.

Data Sentimen Ekonomi Eropah Tinjauan ZEW (Selasa 5.00 Petang): Dengan pelbagai faktor yang masih menghimpit Eropah seperti krisis tenaga yang berlarutan, bacaan data tinjauan terbaru kekal diramalkan merosot. Tumpuan terarah pada tinjauan di Jerman sebagai ekonomi terbesar di Eropah.

Data Inflasi UK (Rabu 2.00 Petang): Bacaan inflasi tahunan di UK akan memberi penilaian terhadap dasar monetari yang sedang diterapkan oleh Bank of England (BOE) ketika ini. Pasaran masih memantau perkembangan pelaksanaan dasar oleh bank pusat dan kerajaan yang dilihat tidak sehaluan.

Data Inflasi Kanada (Rabu 8.30 Malam): Indeks harga pengguna di Kanada diramalkan diterbitkan pada angka 0.0% untuk bacaan bulan September, meningkat dari penguncapan 0.3% sebelum ini. Bacaan terbaru ini akan dinilai oleh Bank of Canada (BOC) yang merupakan antara bank pusat yang agresif dalam pengetatan dasarnya.

Data Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Pagi): Pertambahan pekerjaan di Australia untuk bulan September dijangka lebih rendah berbanding bulan sebelumnya. Sementara, kadar pengangguran pula diramal kekal di paras 3.5%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat