7 Berita Forex Penting Tumpuan Pasaran Minggu Ini (3-7 Ogos 2020)

1,941

Berikut merupakan sebahagian data-data penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Data PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (Isnin 10.00 Malam): Sektor pembuatan di Amerika Syarikat semakin menunjukkan peningkatan untuk dua bulan terbaru. Angka bacaan untuk bulan Julai dijangka terus meningkat selepas bacaan sebelum ini melepasi paras 50 yang membezakan pengembangan berbanding penguncupan.

Mesyuarat Polisi Bank Pusat Australia (Selasa 12.30 Tengahari): Setelah kadar faedah diturunkan ke paras terendah 0.25%, Reserve Bank of Australia (RBA) terus mengekalkan kadar tersebut sehingga Julai. Untuk mesyuarat Ogos, kadar faedah masih lagi dijangkakan kekal, namun kenyataan susulan oleh Gabenor bank pusat terhadap penilaian ekonomi semasa akan mempengaruhi reaksi pelabur.

Data Pekerjaan New Zealand (Rabu 6.45 Pagi): Dengan kesan penularan pandemik yang kembali melanda New Zealand, ekonomi dijangka akan mencatat kadar kehilangan pekerjaan pada suku tahun kedua sehingga -0.2% manakala kadar pengangguran pula diramalkan meningkat kepada 5.5%.

Data PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (Rabu 10.00 Malam): Sektor perkhidmatan di AS melonjak pada Jun sehingga 57.1 mata menunjukkan perkembangan yang baik selepas pembukaan semula ekonomi. Namum, penularan semula wabak pandemik berkemungkinan akan mempengaruhi angka bacaan untuk dicatatkan kembali menurun pada bulan Julai.

Mesyuarat Polisi Bank Pusat England (Khamis 2.00 Petang): Kadar faedah dijangka akan terus kekal di 0.10% setelah diturunkan ke paras terendah tersebut sejak mesyuarat Mac lalu oleh Bank of England (BOE). Namun, apa yang menjadi tumpuan pelabur adalah isyarat yang akan diberikan oleh bank pusat berikutan sebelum ini terdapat jangkaan untuk kadar faedah diturunkan ke paras negatif.

Laporan Data Pekerjaan NFP AS (Jumaat 8.30 Malam): Selepas mencatatkan angka bacaan yang melonjak selama dua bulan berturut-turut, pertambahan pekerjaan AS untuk bulan Julai berkemungkinan akan kembali susut susulan penularan semula pandemik Coronavirus. Namun, kadar pengangguran dijangkakan akan meneruskan trend penurunan walaupun masih pada bacaan dua angka.

Laporan Data Pekerjaan Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Turut diterbitkan bersama laporan NFP AS, pertambahan pekerjaan baru di Kanada akan menjadi tumpuan selepas lonjakan ketara pada Jun sehingga sekitar 950,000 pekerjaan dicatatkan. Momentum positif dijangka terus dikekalkan selepas bacaan pertumbuhan GDP terbaru Kanada yang diterbitkan minggu lalu turut meningkat.

 

Anda mungkin juga berminat