A.S Kenakan Sekatan Terhadap Syarikat-syarikat Yang Berurusan Dengan Iran

530

Rentetan daripada ucapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump selepas serangan peluru berpandu oleh Iran baru-baru ini, Washington mengumumkan sekatan ke atas empat syarikat yang dikatakan telah membantu mengeksport beratus-ratus juta dolar minyak petroleum dan petrokimia dari Iran.

Pada Khamis, Jabatan Perbendaharaan A.S telah menyenaraihitamkan Triliance Petrochemical Co. Ltd. yang berpangkalan di Hong Kong, Sage Energy HK Limited dan Peakview Industry Co. Limited berpangkalan di China, serta Beneathco DMCC dari Dubai kerana berurusan dengan National Iranian Oil Co.

Sekatan ini akan membekukan semua aset yang dipegang oleh syarikat-syarikat yang berada di bawah bidang kuasa Amerika Syarikat, secara amnya menghalang syarikat atau individu negara itu daripada berurusan dengan mereka.

Sementara institusi kewangan asing yang didapati berurusan dengan mereka pula akan dikenakan tindakan tegas, menurut Jabatan Perbendaharaan A.S.

Di samping itu, A.S juga mengenakan sekatan terhadap dua syarikat lain iaitu Jiaciang Industri Hong Kong Ltd dan Shandong Oiwangwa Petrochemical Co Ltd, serta dua individu, Ali Bayandrian yang dikaitkan dengan Triliance Petroleum dan Zhiqing Wang seorang warga China dikaitkan dengan Shandong Oiwangwa.

Setiausaha Perbendaharaan A.S Steven Mnuchin dalam satu kenyataan berkata sektor petrokimia dan minyak petroleum Iran merupakan sumber utama yang menyumbang kepada kegiatan pengganas global dan membolehkan penggunaan keganasan terhadap rakyat sendiri.

Ketegangan antara dua negara itu telah meningkat sejak A.S meninggalkan perjanjian nuklear Iran 2015 yang disusuli dengan pengenaan semula sekatan ekonomi ke atas Iran dan menyaksikan beberapa siri serangan peluru berpandu sehingga mengorbankan Komander Iran Qassem Soleimani.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat