Ada Petanda Apa? CEO Coinbase Umum 20% Tambahan Pengurangan Pekerja!

80

Coinbase dilaporkan akan mengurangkan kira-kira satu perlima daripada tenaga kerjanya kerana ia ingin mengekalkan aliran tunai semasa kemelesetan pasaran kripto.

Bursa pertukaran itu merancang untuk mengurangkan 950 pekerjaan, berdasarkan kenyataan laman web rasmi. Coinbase, yang mempunyai kira-kira 4,700 pekerja pada penghujung September, telah mengurangkan 18% tenaga kerjanya pada Jun lalu bagi menampung kos.

“Dengan melihat ke belakang, kami sepatutnya mengurangkan pekerja lebih banyak lagi,”kata Ketua Pegawai Eksekutif Brian Armstrong dalam salah satu temu bual bersama media. “Yang terbaik yang boleh kami lakukan ialah bertindak balas dengan cepat sebaik sahaja maklumat tersedia, dan itulah yang kami lakukan dalam kes ini.”

Coinbase berkata langkah itu akan menghasilkan perbelanjaan baharu antara $149 juta dan $163 juta untuk suku pertama. Pemberhentian itu, bersama-sama dengan langkah penstrukturan semula yang lain, akan menurunkan perbelanjaan operasi Coinbase sebanyak 25% untuk suku yang berakhir pada bulan Mac.

Selepas melihat pelbagai ujian tekanan untuk hasil tahunan Coinbase, Armstrong berkata, “menjadi jelas bahawa kami perlu mengurangkan perbelanjaan untuk meningkatkan peluang dalam mengharungi setiap cabaran. Syarikat itu juga akan menutup beberapa projek yang memiliki “kebarangkalian kejayaan yang lebih rendah.”

Pasaran mata wang kripto telah digegarkan rantaian isu beberapa bulan kebelakangan ini berikutan kejatuhan salah satu pemain terbesar industri, FTX.

“FTX runtuh dan impak yang terhasil telah mencipta episod gelap untuk industri.” katanya, sambil menambah kemungkinan lebih banyak “pemain industri akan jatuh.”

Mata wang kripto telah terkesan bersama-sama saham teknologi kerana pelabur melarikan diri dari aset berisiko di tengah-tengah kemelesetan ekonomi yang lebih luas. Bitcoin turun 58% pada tahun lalu, manakala saham Coinbase turun lebih daripada 83%.

Tamsilnya Coinbase menyertai kumpulan syarikat berteknologi lain yang mengurangkan pekerjaan selepas bekerja keras untuk menambah pekerja semasa pandemik. Pada minggu lepas, Amazon berkata ia akan mengurangkan 18,000 pekerjaan manakala Salesforce mengurangkan lebih daripada 7,000, atau 10% pekerjaan. Elon Musk pula mengurangkan kira-kira separuh daripada tenaga kerja Twitter selepas memegang tampuk kepimpinan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif tahun lepas.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat