Adakah USD Akan Terus Kuat Selepas Data Inflasi Diterbitkan?

718

Dolar greenback mengekalkan pengukuhannya di paras ketinggian hampir dua tahun dengan sokongan daripada hasil bon yang lebih tinggi menjelang penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada sesi New York.

Kadar inflasi AS diunjurkan meningkat mencecah 8.5% pada bulan Mac, iaitu tahap tertinggi pernah direkodkan sejak Disember 1981 berikutan lonjakan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan di tengah permintaan yang kukuh.

Penanda aras hasil bon AS 10 tahun terus mencatatkan kenaikan untuk mengukuh di paras tertinggi lebih tiga tahun pada 2.82%, sekali gus membenam mata wang yen lebih rendah.

Yen didagangkan lemah pada 125.50 berbanding US dolar ketika sesi Eropah, dengan pergerakan harga kini menuju ke paras terendah sejak 2002.

Sementara menantikan data inflasi, pelabur terlebih dahulu akan diperlihatkan dengan laporan sentimen ekonomi tinjauan ZEW pada sesi Eropah. Euro kekal diniagakan suram di paras terendah hampir satu bulan berbanding USD.

Mata wang pound juga melemah, gagal memanfaatkan bacaan data pekerjaan UK yang menunjukkan kadar pengangguran turun ke tahap terendah dua tahun pada bulan Februari kepada 3.8% daripada 3.9% sebelumnya.

Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi terus didagangkan suram ketika pelabur menantikan mesyuarat polisi Bank Pusat New Zealand (RBNZ) yang akan berlangsung pada hari Rabu.

Selain itu, dolar Kanada pula gagal menguat di tengah kebangkitan semula harga minyak mentah berikutan US dolar yang mengukuh.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat