AirAsia Buat Pelabur ‘Rambang Mata’

3,545

Cadangan penyusunan semula AirAsia X Bhd (AAX) mencetuskan minat belian terhadap saham-saham syarikat penerbangan jarak jauh berkenaan dalam sesi dagangan pada awal hari ini.

Bernama melaporkan, pada 10.30 pagi, saham AAX naik 1.5 sen kepada 9.5 sen dengan sejumlah 263.27 juta saham berpindah tangan, sekali gus mengatasi kemunculan pertama Mobilia Holdings Bhd sebagai kaunter paling aktif pada awal dagangan.

Malahan, berita mengenai perkembangan terbaharu AAX turut mendorong saham syarikat sekutu, AirAsia Group Bhd yang naik sebanyak 10 sen kepada 91.5 sen dengan 134.81 juta saham didagangkan.

AirAsia Group juga muncul sebagai kaunter kelapan paling aktif dalam dagangan setakat pukul 10.30 pagi hari ini.

Menurut laporan Reuters, AAX telah mencadangkan program penyusunan semula yang berasingan kepada pihak pemajak dalam usaha menangani kebimbangan mereka.

Ujar Reuters, cadangan berkenaan bertujuan meredakan kebimbangan pihak pemajak tersebut mengenai perjanjian komersial serta aspek daya maju perniagaan syarikat penerbangan berkenaan pada masa hadapan.

“Di bawah cadangan yang disemak semula itu, AAX menyatakan pihak pemajak dijangka memperolehi sekurang-kurangnya 60% daripada jumlah hutang,” jelas Reuters lagi.

Cadangan terbabit turut dilihat sebagai langkah penting bagi membolehkan syarikat tersebut mendapat persetujuan pihak pemiutang bagi usaha penyusunan semula itu.

Laporan Reuters turut menyebut bahawa AAX telah berusaha selama berbulan-bulan untuk menyusun semula sejumlah RM64.15 bilion ke dalam hutang sebanyak RM200 juta.

“Lebih daripada 12 pemiutang dengan kebanyakannya adalah pemajak, telah ke mahkamah bagi mencabar cadangan yang boleh menyebabkan mereka mengalami pengurangan sebanyak 99.7%,” kata Reuters.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat