AirAsia Luluskan Langganan IAA Untuk RM1.01 Bilion

63

Airasia Bhd meluluskan langganan sehingga 3.04 bilion rupiah (RM1.01 billion) nilai nominal sekuriti modal kekal yang akan diterbitkan syarikat bersekutu 49 peratus, PT Indonesia AirAsia (IAA), pada 100 peratus daripada nilai nominalnya.

Pada 29 September 2015, syarikat itu melanggan 2.06 bilion rupiah nilai nominal, sebagai 49 peratus sekuriti modal kekal yang diterbitkan IAA, bagi mematuhi arahan daripada Ketua Pengarah Penerbangan Awam (DGCA) Republik Indonesia.

“Langganan itu bagi membolehkan IAA mengekalkan kedudukan ekuiti positif sebagaimana diarah oleh DGCA.

“Kegagalan untuk menangani kekurangan modal membawa risiko yang Menteri Pengangkutan Republik Indonesia akan mengetepikan permintaan IAA untuk kelulusan laluan baru atau ia boleh mengenakan penggantungan operasi,” kata syarikat penerbangan kos rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Ia berkata, Indonesia adalah pasaran penting untuk AirAsia dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa telah meramalkan yang Indonesia dijangka menjadi pasaran keenam terbesar untuk perjalanan udara menjelang 2034 dengan 270 juta penumpang.

Risiko penggantungan IAA bukan sahaja menjejaskan jenama AirAsia tetapi juga rangkaian dan pertumbuhan masa depan Kumpulan AirAsia, tambahnya.

Makluman itu juga berkata, langganan itu akan membantu mengurangkan penggearan IAA tanpa sebarang keperluan untuk AirAsia menyuntik pembiayaan atau modal tambahan kerana ia melibatkan penukaran jumlah terhutang kepada syarikat itu ke dalam ekuiti IAA.

PT Indonesia AirAsia mencatat keuntungan operasi 229.3 bilion rupiah pada suku ketiga 2016 berbanding kerugian operasi 59.5 bilion rupiah dalam tempoh yang sama setahun lalu.

“IAA dijangka mencatat prestasi kukuh sehingga akhir tahun, disokong oleh faktor muatan dan tambang purata kerana ia terus mendapat permintaan kukuh di hampir semua sektor berikutan cuti dan perayaan akhir tahun.

“Selain itu, prestasi itu juga disebabkan persekitaran harga bahan api yang baik,” katanya.

Pada jam 4.40 petang, harga saham AirAsia merosot empat sen kepada RM2.49 dengan 11.67 juta unit bertukar tangan.

Sumber: Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat