Akibat Tindakan Hina Islam, Barangan Perancis Diboikot

3,565

Perancis menggesa negara-negara Asia Barat supaya menghentikan boikot terhadap barangannya susulan pendirian Presiden Emmanuel Macron yang mempertahankan hak menayangkan kartun Nabi Muhammad (S.A.W).

Lapor BBC, Kementerian Luar Perancis menyifatkan boikot itu adalah tidak berasas dan dilakukan oleh sekumpulan golongan radikal.

Banyak produk dari Perancis telah dilihat tidak lagi dijual di beberapa kedai di Kuwait, Jordan dan Qatar.

Antara barangan yang tidak lagi dipamerkan di rak jualan adalah produk kecantikan.

Protes turut dilaporkan berlaku di Libya, Syria dan Semenanjung Gaza.

Macron dikecam selepas mengeluarkan kenyataan berkenaan susulan kematian seorang guru Perancis, Samuel Paty selepas menunjukkan lukisan kartun Nabi Muhammad (S.A.W) dalam kelasnya.

Beliau mendakwa Paty dibunuh kerana golongan ‘pengganas Islam’ mahu merampas ‘masa depan’ Perancis tetapi negara itu tidak akan ‘menyerahkan kartun mereka’.

Awal bulan ini, sebelum pembunuhan Paty, Macron mengumumkan perancangan untuk melaksanakan undang-undang lebih tegas bagi menangani ‘kumpulan pemisah Islam’ di Perancis.

Dalam pada itu, para pemimpin politik di Turki dan Pakistan menegaskan Macron tidak menghormati kebebasan beragama dan meminggirkan jutaan golongan Muslim di Perancis.

Semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan Macron membuat ‘pemeriksaan mental’ terhadap pandangannya berhubung Islam.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat