Alahai Cardano (ADA), Sinarnya Semakin Suram!

1,774

Mungkin kehadiran fungsi kontrak pintar di Cardano belum cukup kukuh untuk memampankan harga ADA.

Jika perhatikan kepada prestasi ADA sejak September, aset ini menunjukkan corak bearish berbeza dengan jangkaan pelabur yang mengharapkan bullish.

Apa yang berlaku?

Berketetapan 2 September, ADA mencatatkan nilai tertinggi sepanjang masa (ATH) pada paras $3.10 sebelum ia susut kepada $2 pada 7 September. Kebetulan pada hari tersebut, Bitcoin Law mula dilaksanakan sepenuhnya di El Salvador.

Seminggu kemudian barulah pembangun Cardano, Input Output mengesahkan pelancaran hard fork Alonzo yang membawa fungsi kontrak pintar ke rangkaian itu menggunakan Plutus.

Khabar itu mendorong peningkatan harga ADA sehingga $2.71, tetapi kembali susut di bawah $2.50 keesokannya.

ADA terus mencatatkan bearish walaupun Bitcoin melonjak sepanjang Oktober, menunjukkan dominasi raja kripto itu gagal mendorong pergerakan positif ADA.

Ketika penulisan, ADA didagangkan pada $1.6, susut lebih 1% dalam 24 jam. Ia berada di kedudukan ke-6 selepas Solana (SOL), mengatasi kedudukan Ripple (XRP).

Persaingan sengit Ethereum-Cardano-Solana

Ketua pegawai teknologi, Romain Pellerin pernah mendakwa Cardano akan berada di kedudukan setara dengan Ethereum sebaik sahaja fungsi kontrak pintar dilancarkan, berdasarkan penghasilan karbon Cardano yang jauh lebih rendah berbanding Ethereum atau Bitcoin.

Disebabkan itu pengasas Cardano, Charles Hoskinson menggesa Tesla untuk menerima ADA sebagai medium pembayaran berbanding Bitcoin dan Dogecoin (DOGE).

Sebagai rekod, pengasas Tesla – Elon Musk pernah membatalkan pembayaran menggunakan Bitcoin kerana isu alam sekitar yang berpunca daripada perlombongannya. Berbeza dengan Cardano, penghasilan aset ini tidak memerlukan tenaga yang tinggi.

Tetapi pujukan Hoskinson diabaikan.

Muncul pula Solana yang menyaksikan lonjakan parabolik sepanjang tahun. Pengaplikasian konsensus proof-of-history (PoH) berjaya menarik perhatian kebanyakan pelabur kerana jumlah transaksi sesaat (TPS) yang tinggi bersama penggunaan tenaga yang rendah.

Melihat situasi serba tak kena untuk Cardano, sejauh mana rangkaian ini dapat buktikan keunggulannya sebagai rangkaian yang mampu menandingi Solana, setara dengan Binance Smart Chain (BSC) dan Ethereum?

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat