Ripple Labs, pembangun matawang kripto XRP sekali lagi menerima saman tindakan perwakilan atau ‘class action’ dari salah seorang pembeli dikenali, Tyler Toomey.
Ripple dituduh telah melanggar Akta Sekuriti Florida dan Perlindungan Pelabur dengan menawarkan XRP kepada pelabur runcit tanpa mengenakan sekatan.
Dalam saman itu juga ada menyebut, kesukaran Ripple untuk menanggung perbelanjaan firma itu memaksa pihak mereka untuk menjual token sebanyak yang mungkin dengan mengawal penawaran dan kecairan aset itu.
“Sebahagian besar pendapatan Ripple merupakan hasil penjualan XRP iaitu lebih $1 bilion dan digunakan untuk membiayai operasi keseluruhan firma tersebut.”
CEO Ripple, Brad Garlinghouse dinamakan sebagai defendan, menegaskan individu itu telah menjual sejumlah XRP bernilai sekitar $150 juta bermula April 2017 sehingga Disember 2019, termasuk memanipulasi prestasi token itu.
“Beberapa kali dalam tempoh April 2017 dan Disember 2019, Garlinghouse telah menghentikan penjualan XRP kerana penyusutan pasaran matawang kripto itu, bertujuan untuk mengelakkan penurunan harga pasaran XRP.”
Toomey sebagai plaintif turut berpendapat, defendan masih memiliki sejumlah XRP yang mereka dapat mengewangkan sekaligus mengundang risiko besar dalam kalangan para pelabur.
Ini kali ketiga Ripple disaman, bermula dengan Securities and Exchange Commission (SEC) disusuli dengan firma pengurusan aset United Kingdom (UK), Tetragon Financial Group LTD.
Ketika penulisan, XRP didagangkan pada $0.26, susut 2.93% untuk tempoh 24 jam.