Aliran Keluar Dana Asing Meningkat Kepada RM1.04 Bilion

292

Aliran keluar dana asing dalam pasaran ekuiti tempatan mencecah sehingga RM1.04 bilion pada minggu lepas berbanding RM601.2 juta pada minggu sebelumnya, lapor MIDF Research.

Menurut MIDF, ekuiti tempatan berjumlah RM1.04 bilion bersih yang dijual oleh pelabur asing pada minggu lalu merupakan paling tinggi dalam tempoh 12 minggu. Jualan bersih pada Isnin adalah yang terbesar sejak Mei lalu iaitu pada RM357.0 juta.

Sentimen pasaran telah dilemahkan oleh tindakan China menurunkan mata wang yuan ke tahap yang rendah berbanding dolar AS sebagai tindak balas pengenaan tarif daripada Amerika Syarikat terhadap barangan import China bernilai US$300 bilion.

Pelabur mula tenang apabila China menetapkan yuan pada paras yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan membuatkan berlaku penurunan dalam jualan bersih asing pada Selasa iaitu RM219.9 juta.

Bagaimanapun, sentimen berubah apabila beberapa bank pusat seperti New Zealand, India dan Thailand menurunkan kadar faedah mereka menyebabkan jualan bersih asing meningkat kepada RM269.5 juta pada hari berikutnya.

Penurunan mendadak berlaku pada Khamis di mana Jepun membenarkan eksport bahan pembuatan semikonduktor ke Korea Selatan mengakibatkan aliran bersih asing mencecah RM30.7 juta.

Namun, aliran keluar asing bersih kembali meningkat pada Jumaat dengan RM158.1 juta berikutan White House menangguhkan keputusan mengenai lesen bagi syarikat AS untuk memulakan perniagaan dengan Huawei Technologies Co. selepas Beijing mengatakan ia menghentikan pembelian produk pertanian Amerika Syarikat.

Tambah MIDF lagi, prestasi pada minggu lalu menjadikan jumlah aliran keluar bersih asing mencecah ke tahap RM6.01 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat