Matawang dolar Amerika Syarikat jatuh ke paras terendah lima minggu berbanding Yen dan juga melemah berbanding matawang utama yang lain pada dagangan Isnin selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk meningkatkan kadar tarif terhadap barangan import China pada minggu ini. Berita tersebut telah merisikokan rundingan antara Beijing dan Washington selain turut meningkatkan risiko terhadap sentimen pasaran.
Trump menghentam China dalam isu perdagangan dengan mengatakan Amerika Syarikat telah mengalami kerugia berbilion dolar dalam urusan perdagangan bersama China. Komen tersebut disusuli ancaman untuk menaikkan tarif ke atas barangan China yang berjumlah $200 bilion walaupun rundingan dagangan dijadualkan berlangsung pada minggu ini.
Situasi pasaran yang berisiko seperti ini akan dimanfaatkan oleh Yen sebagai matawang berstatus safe-haven yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran. Pelabur yang berasa bimbang akan beralih ke arah aset berpulangan rendah yang lebih selamat.
Turut terkesan oleh ancaman tersebut adalah matawang Yuan China sendiri. Dagangan Yuan didagangkan lemah sejak semalam dan telah jatuh hampir 1% ke paras terendah untuk tahun ini sekitar 6.80 berbanding dolar.
Matawang yang berkaitan dan mempunyai rangkaian rakan dagang bersama China turut mengalami penurunan termasuk dolar Australia dan juga dolar New Zealand.
Sesi pasaran Asia pagi ini melihatkan Aussie mengukuh selepas data ekonomi yang dikeluarkan adalah positif. Data jualan runcit di Australia mencatatkan bacaan yang lebih baik iaitu pada 0.3% berbanding jangkaan penurunan 0.2 % oleh pasaran. Data imbangan dagangan juga turut mencatatkan bacaan yang lebih tinggi berbanding jangkaan penurunan.
Pelabur akan memberi tumpuan pula pada keputusan penetapan kadar faedah oleh bank pusat Australia pada jam 12.30 tengah hari sebentar lagi. Jangkaan pasaran cenderung melihat penurunan pada keputusan kadar pada mesyuarat kali ini.
Sementara itu, Pound Sterling kembali diniagakan lemah semula selepas melonjak tinggi pada dagangan Jumaat sebelum ini, berikutan parti pembangkang buruh mendakwa Perdana Menteri Britain Theresa May membocorkan maklumat perbincangan dan akan merisikokan rundingan tersebut.
Terus memantau data-data penting dalam pasaran kewangan untuk membantu anda sentiasa peka terhadap perubahan pada pergerakan harga semasa. Beri tumpuan juga pada perkembangan rundingan dagang AS-China dan rundingan Brexit yang masih mempengaruhi sentimen pasaran.