Apa Cerita Kes Tuduhan Trump Merogol?

427

Mahkamah Amerika Syarikat (AS) menolak usaha Jabatan Kehakiman (DoJ) untuk mempertahankan Presiden Donald Trump berhubung kes seorang wanita yang mendakwa Trump hampir merogolnya.

Wanita terbabit yang juga merupakan seorang kolumnis, E Jean Carroll mendakwa Trump ‘menyerangnya’ di sebuah kedai serbaneka di Manhattan pada 1990-an.

Dalam tuntutan saman yang dibuat oleh Carroll, dia mendakwa Trump memfitnahnya ketika menafikan dakwaan itu dan memanggil wanita tersebut sebagai ‘penipu’.

DoJ cuba mewakili Trump sebagai defendan selepas menegaskan Trump merupakan seorang ‘pekerja Persekutuan’ dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden ketika beliau menolak dakwaan Carroll.

Bagaimanapun Hakim Lewis Kaplan dari Mahkamah Daerah Persekutuan di Manhattan menegaskan Trump bukanlah pekerja Persekutuan.

Beberapa pakar perundangan sebelum ini berkata, langkah DoJ yang membawa kes tersebut ke peringkat mahkamah Persekutuan akan mengakibatkan tuntutan itu ‘berakhir begitu sahaja’ kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh disaman atas tuduhan fitnah.

Namun keputusan yang dibuat oleh Kaplan itu telah memberi sinar baharu kepada Carroll kerana kes tersebut boleh berjalan seperti biasa.

Kaplan menyatakan serangan seksual itu berlaku sebelum Trump menjadi Presiden dan dakwaan itu sekali gus tiada kena mengena dengan urusan rasmi AS.

Berita ini pasti memberi tamparan kepada Trump yang ketika ini sedang berkempen untuk mengekalkan jawatannya pada 3 November kelak.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat