Apa Itu Amanah Pelaburan Hartanah (REIT)?

598

Bagi kebanyakan orang, melabur dalam hartanah adalah satu impian, terutamanya dengan rumah ‘mampu milik’ berharga lebih RM400,000 pada hari ini. Ramai rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah sendiri, apatah lagi untuk dijadikan pelaburan.

Apakah alternatif yang sesuai untuk segelintir orang yang tidak mempunyai wang tunai untuk melabur dalam hartanah? Jawapannya adalah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

Pada artikel kali ini, penulis akan menerangkan apakah REIT dan apakah kelebihan melabur dalam REIT.

REIT merupakan dana atau amanah yang memiliki serta menguruskan hartanah komersil yang menjana pendapatan. Antara jenis hartanah terbabit adalah kompleks beli-belah, hospital, perladangan, hartanah perindustrian hotel dan blok pejabat.

Sebuah syarikat pengurusan bagi REIT dibenarkan untuk menolak agihan yang dibayar kepada pemegang sahamnya daripada pendapatan korporat boleh cukai.

Walau bagaimanapun, untuk menikmati status bebas cukai berkenaan, REIT mestilah mempunyai kebanyakan aset dan pendapatannya diikat kepada hartanah serta mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada jumlah pendapatan kepada pelabur atau pemegang unit secara tahunan.

Sama seperti berdagang dalam saham, anda perlu mempunyai akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan akaun dagangan diuruskan dengan broker. Anda juga perlu membayar komisyen pembrokeran, duti setem, yuran penjelasan dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Jika anda mencari REIT Islamik atau patuh Shariah di negara ini, tidak perlu risau. Menurut Bursa Malaysia, daripada 18 REIT di negara ini, empat daripadanya adalah REIT yang mematuhi Shariah (i-REIT).

Empat i-REIT tersebut adalah Al-’Aqar Healthcare Reit (ALAQAR); Al-Salam REIT (ALSREIT); AXIS REIT (AXREIT) dan KLCC Property Holding (KLCC).

Perbezaan antara i-REIT dan REIT konvensional adalah sumber pendapatan. i-REIT memperoleh pendapatan dari aktiviti perniagaan yang mematuhi Shariah. Bagi i-REIT yang menjalankan aktiviti perniagaan patuh Shariah dan tidak patuh Shariah, pulangan daripada aktiviti perniagaan tidak patuh Shariah perlulah tidak melebihi 20% daripada keseluruhan pendapatannya.

Terdapat beberapa faedah jika anda memilih untuk melabur REIT iaitu:

i) Anda tidak perlu gusar untuk mengeluarkan modal yang besar untuk melabur dalam REIT. Kos pelaburan dalam REIT hanyalah sebahagian daripada kos pelaburan langsung dalam hartanah. Anda boleh bermula dengan modal serendah RM100. Pembelian saham minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia adalah satu lot iaitu bersamaan dengan 100 unit.

ii) REIT adalah lebih cair berbanding hartanah fizikal. Saham REIT yang didagangkan awam telah sedia ditukar kepada tunai apabila didagangkan di bursa saham.

iii) REIT turut cenderung untuk membayar dividen yang tetap, yang diperoleh daripada sewa sedia ada yang dibayar oleh penyewa yang tinggal di hartanah REIT.

iv) Hartanah REIT diuruskan oleh golongan profesional yang akan menambah nilai bagi hasil yang lebih tinggi, sekali gus memberi manfaat kepada pelabur dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, setiap pelaburan mestilah mempunyai risikonya yang tersendiri. Jumlah pulangan daripada REIT adalah tertakluk kepada prestasi pasaran hartanah. Oleh itu, harga unit bagi REIT boleh turun jika hartanah pendasar turun dari segi nilainya.

Selain itu, pelabur tidak mempunyai kawalan langsung ke atas keputusan pelaburan syarikat pengurusan seperti bilakah waktu membeli atau menjual sesetengah hartanah dan bagaimana hartanah itu akan diuruskan.

REIT juga tertakluk kepada permintaan dan penawaran pasaran. Oleh itu, naik turun pasaran, keyakinan ke atas ekonomi dan perubahan dalam kadar faedah mungkin mempengaruhi harga REIT.

Sekiranya anda ingin memilih REIT yang baik, beberapa faktor perlu dipertimbangkan seperti jenis hartanah; lokasi; potensi pertumbuhan; penaja; struktur kewangan; pasukan pengurusan dan tadbir urus.

Pulangan kepada pemegang unit REIT adalah dalam bentuk agihan pendapatan berasaskan kepada polisi agihan yang dinyatakan dalam perjanjian REIT dan untung modal yang mungkin timbul daripada kenaikan harga REIT.

SUMBER: BURSA MALAYSIA

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat