Apa Jadi Dengan Pasaran Saham Selepas Cuti Aidilfitri?

450

Bursa Malaysia kembali diniagakan pada pagi hari ini menyaksikan dagangan bercampur-campur dengan kenaikan indeks utama dirangsang oleh prestasi positif di Wall Street pada Jumaat minggu lepas.

Urus niaga di Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada 13-16 Mei sempena cuti umum sambutan Hari Raya Aidiltri.

Pada jam 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.84 mata kepada 1,587.36 daripada 1,582.52 ketika ditutup pada urus niaga minggu sebelumnya.

Bernama melaporkan, indeks utama 5.03 mata lebih lemah pada 1,577.49.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 380 berbalas 172 sementara 304 kaunter tidak berubah, 1,329 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan 545.76 juta bernilai RM229.85 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran dijangka kekal lemah terutama dalam persekitaran Perintah Kawalan Pergerakan ketiga (PKP 3.0) ini, walaupun Wall Street mempamerkan prestasi positif diikuti dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang telah mendorong harga minyak Brent sedikit lebih tinggi pada Jumaat minggu lepas.

Sementara itu, niaga hadapan minyak sawit mentah melonjak melebihi RM4,500 satu tan minggu sebelumnya.

Malacca Securities menambah pelabur berkemungkinan menumpukan perhatian kepada saham penjagaan kesihatan ekoran peningkatan kes di beberapa negara seperti Taiwan dan Singapura.

“Juga, peniaga cenderung untuk meninjau sektor yang pasti mencatatkan perolehan tinggi menjelang musim pelaporan prestasi kewangan bulan Mei, termasuk syarikat berkaitan pembungkusan dan plastik di tengah-tengah permintaan yang menggalakkan dalam situasi PKP ini.

“Selain itu, kenaikan komoditi dapat memberi harapan kepada sektor seperti perladangan, tenaga dan saham berkaitan logam,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM8.29, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.20, Petronas Chemicals menambah lima sen kepada RM8.15, TNB lebih tinggi tujuh sen kepada RM9.94, Maxis tidak berubah pada RM4.53, IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM5.36, Top Glove susut lapan sen kepada RM5.27 dan Press Metal jatuh enam sen kepada RM5.34.

Bagi kaunter aktif, Kanger, KTG dan Minda Global masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen, 21 sen dan 15 sen, Lambo tidak berubah pada 1.5 sen, Focus Dynamics dan Tanco Holdings turun setengah sen, masing-masing kepada 5.5 sen dan 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas pulih 14.17 mata kepada 11,577.21, dan Indeks FBMT 100 meningkat 20.01 mata kepada 11,253.98.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 2.53 mata kepada 12,927.87, FBM ACE susut 48.53 mata kepada 7,897.63 dan FBM 70 merosot 29.15 mata kepada 14,946.69.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 32.89 mata kepada 7,040.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.95 mata kepada 196.29 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 92.63 mata kepada 14,943.17.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat