Apa Reaksi Matawang Utama Susulan 3 Keputusan Kadar Faedah Hari Ini?

377

Dagangan awal minggu ini menyaksikan beberapa keputusan mengejutkan oleh bank pusat utama dunia dalam usaha melindungi ekonomi yang terkesan oleh penularan wabak coronavirus.

US dolar diniagakan menyusut berbanding safe-haven yen susulan Federal Reserve AS (Fed) hari ini mengumumkan pemotongan kecemasan kedua kadar faedah sebanyak 100 mata asas kepada julat sasaran 0%-0.25%.

Turut memberi kesan kepada pergerakan USD adalah keputusan Bank of Japan (BOJ) yang mengekalkan kadar faedahnya pada paras terendah -0.10% dan memperkenalkan langkah pelonggaran tambahan untuk merangsang ekonomi negara itu.

US dolar ditutup tinggi berbanding yen pada dagangan akhir minggu lalu susulan pemulihan dalam hasil perbendaharaan AS serta pengiytiharan darurat di seluruh negara oleh Presiden AS Donald Trump serta dana kecemasan bernilai $50 bilion untuk diagihkan kepada kerajaan negeri dan tempatan.

Sementara itu di Eropah, matawang euro diniagakan meningkat berbanding USD sementara menteri-menteri kewangan Kesatuan Eropah (EU) akan bertemu untuk membincangkan mengenai penutupan sempadan dan juga bantuan kewangan.

Itali terus menerajui carta dengan mencatatkan jumlah kes sebanyak 24,747 dan 1,809 kematian, menjadikannya sebagai negara pertama yang paling teruk terjejas di Eropah.

Pembukaan sesi Eropah juga memperlihatkan matawang euro didagangkan melonjak berbanding pound ke paras ketinggian 6 bulan. UK dilaporkan akan membuat pengumuman lanjut pada hari ini mengenai langkah-langkah yang diambil untuk menangani impak coronavirus.

Di sisi lain, dolar New Zeland diniagakan di sekitar paras terendah sejak Mei 2009 berbanding USD susulan pemotongan kadar faedah kepada 0.25% oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).

Dolar Aussie pula terus mencatat penyusutan berbanding USD, didorong oleh bacaan data China yang lemah sekali gus mencetuskan amaran kepada seluruh dunia mengenai impak COVID-19 kepada ekonomi global.

Dagangan dolar Kanada terus ditekan oleh kejatuhan ketara harga minyak yang dijangka akan menjejaskan ekonomi Kanada sebagai pengeluar minyak mentah keempat terbesar dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat