Sentimen pasaran yang berhati-hati meletakkan US dolar di belakang matawang safe-haven yen dan swiss franc, di tengah kebimbangan yang meningkat terhadap kebangkitan kes coronavirus disebabkan penularan varian Delta dan bacaan data ekonomi AS yang suram.
Di Amerika Syarikat, kadar kemasukan ke hospital akibat Covid-19 dilaporkan telah meningkat ke tahap tertinggi, terutamanya di Louisiana dan Florida.
Hasil bon AS yang biasanya dilihat sebagai pengukur kepada keyakinan pasaran terhadap pertumbuhan ekonomi, jatuh di bawah tahap 1.20% iaitu paling rendah sejak Februari.
Seiring dengan pergerakan hasil bon AS yang lemah, dolar greenback terus didagangkan menyusut berbanding kebanyakan matawang utama pada sesi Eropah.
US dolar susut 0.1% ke sekitar harga 109.21 berbanding yen, tidak jauh dari paras terendah dua bulan yang dicapainya sebelum ini. Berbanding swiss franc pula, greenback didagangkan di sekitar 0.9046 franc, selepas menyentuh tahap terendah satu setengah bulan pada sesi sebelum ini.
Dolar Aussie terus meraih manfaat daripada keputusan Bank Pusat Australia (RBA) yang meneruskan rancangannya untuk mengurangkan pembelian bon pada awal September sehingga sekurang-kurangnya pertengahan November.
Selain itu, dolar kiwi turut meningkat selepas Bank Pusat New Zealand (RBNZ) mengatakan ia akan segera memulakan perbincangan mengenai cara-cara untuk mengetatkan standard pinjaman gadai janji, ketika ia berusaha untuk mengawal pasaran perumahan yang meningkat dan melindungi pembeli rumah.
Sementara itu, matawang pound juga mencatatkan peningkatan pada sesi Eropah dengan didagangkan kukuh di atas paras harga 1.39000 berbanding US dolar, ketika kes Covid-19 di UK terus menunjukkan penurunan.