Apakah Itu CDS?

1,399

Apa itu CDS? Jika anda baharu sahaja ingin berjinak-jinak dalam dunia pelaburan saham, akaun CDS adalah penting sebelum anda memulakan pelaburan.

Kali ini, penulis akan berkongsi serba sedikit apakah itu CDS kepada pembaca Intraday.My.

Akaun CDS adalah ‘Central Depository System’ atau Sistem Depositori Pusat. Akaun ini bertindak sebagai kaedah untuk mewakili pemilikan dan pergerakan sekuriti. Pemegang akaun CDS menikmati kemudahan seperti memperoleh pemindahan sekuriti dan penyelesaian dagangan secara elektronik di sistem yang disediakan di Bursa Malaysia.

Akaun CDS boleh dibuka oleh seorang individu yang mencapai umur 18 tahun pada tarikh permohonan, mana-mana pertubuhan yang didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen dan mana-mana badan korporat yang diperbadankan dalam Malaysia.

Suatu akaun CDS hanya boleh dibuka jika individu terbabit membuka akaun terbabit sama ada sebagai pemilik yang mendapat manfaat atau pun sebagai penama yang sah.

Akaun CDS adalah penting untuk anda membeli atau menjual saham dan menjalankan transaksi CDS yang lain ke atas semua kaunter ekuiti serta bukan ekuiti seperti bon, saham pinjaman, waran dan sebagainya.

Anda boleh membuka akaun CDS di mana-mana Ejen Depositorti Diberi Kuasa (ADA) yang berdaftar dengan Bursa Malaysia seperti Kenanga Investment Bank Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd dan Maybank Investment Bank Berhad.

ADA anda kemudiannya akan membuka akaun CDS dan memberikan anda nombor akaun CDS. Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd akan menghantar notis pengesahan pembukaan akaun anda melalui pos.

Seorang pelabur individu dibenarkan membuka satu sahaja akaun CDS dengan setiap ADA namun seorang pelabur korporat boleh membuka pelbagai akaun dengan ADA yang sama.

Akaun CDS terbahagi kepada dua iaitu CDS Islamik dan CDS Konvensional. Perbezaan utama antara kedua-dua akaun adalah pelabur yang membuka akaun CDS Islamik tidak boleh membeli saham yang tidak patuh syariah di Bursa Malaysia.

Selain itu, pemilik akaun CDS Islamik tidak akan menerima faedah seperti CDS Konvensional yang mendapat faedah berdasarkan kadar sesuatu bank pelaburan itu.

Perbezaan ketiga adalah pemilik akaun CDS Islamik tidak boleh berdagang melebihi jumlah wang pelaburan yang ada dalam akaun ‘trading’ mereka manakala pelabur akaun ‘trading’ konvensional boleh membeli saham meskipun tiada wang dalam akaun mereka.

Sekiranya anda berminat untuk memiliki akaun CDS Islamik, anda boleh menyemak pautan ini untuk mengetahui senarai syarikat broker yang menawarkan perkhidmatan berkenaan: https://www.bursamalaysia.com/bm/trade/our_products_services/islamic_market/bursa_malaysia_i/list_of_islamic_brokers

Akaun CDS turut terbahagi kepada dua daripada sudut faktor pegangan saham iaitu CDS Direct dan CDS Nominess. CDS Direct adalah akaun yang didaftarkan terus atas nama anda dalam pendaftar saham manakala CDS Nominess merupakan akaun yang didaftarkan atas nama bank pelaburan anda dan nama anda sebagai penamanya.

Kelebihan mendaftar akaun CDS Direct adalah dividen saham akan terus dimasukkan ke dalam akaun anda sekiranya syarikat memberikan dividen; boleh memohon saham IPO; boleh hadir ke mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat dan laporan kewangan tahunan syarikat akan terus dihantar kepada anda.

Bagi akaun CDS Nominees, ada yuran yang akan dikenakan ke atas dividen; tidak boleh memohon saham IPO menggunakan akaun CDS Nominees; tidak boleh hadir ke AGM syarikat dan tiada laporan kewangan akan dihantar kepada anda.

Sumber: Bursa Malaysia

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat