Arab Saudi Umum Tambahan Pemotongan Pengeluaran – Ini Sebab Harga Minyak Kembali Pulih!

419

Dagangan komoditi hitam mencatat peningkatan pada pembukaan sesi Asia setelah Arab Saudi memberitahu bahawa syarikat minyak negara, Aramco akan mengurangkan pengeluaran minyak mentahnya pada bulan Jun.

Pemotongan pengeluaran secara sukarela sebanyak satu juta tong sehari itu, dikatakan sebagai tambahan kepada komitmen pengurangan daripada negara itu yang dipersetujui Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, OPEC+ pada bulan lalu.

Niaga hadapan minyak mentah Brent kembali kepada $30.11 setong dengan kenaikan sebanyak 0.9% setelah jatuh $1.34 setong pada dagangan hari Isnin. Sementara niaga hadapan WTI Amerika Syarikat meningkat 1% kepada $24.38 setong setelah menyentuh paras ketinggian $24.77 setong.

Dalam pada itu, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait juga berjanji untuk memperdalamkan pengurangan pengeluaran mereka, dengan masing-masing menjanjikan tambahan pemotongan sebanyak 180,000 tong sehari.

Hal ini secara tidak langsung dapat meredakan beberapa tekanan terhadap kekurangan kapasiti penyimpanan bekalan minyak mentah, selain turut disokong oleh peningkatan permintaan bahan bakar berikutan pelonggaran sekatan di beberapa negara.

Walau bagaimanapun, dengan munculnya kes baru di China dan Korea Selatan, ia telah menimbulkan kebimbangan terhadap gelombang kedua wabak coronavirus yang mungkin akan mengakibatkan sekatan baru dan menjejaskan pemulihan dalam permintaan.

Terbaru, Korea Selatan telah melaporkan terdapat 27 kes baru pada hari ini menjadikan kes jangkitan daripada kluster baru meningkat kepada 94. Sementara China pula melaporkan 1 kes baru, setelah mencatatkan 17 kes baru pada Selasa.

Ini menjadikan jumlah kes di seluruh dunia secara keseluruhannya, meningkat kepada 4.17 juta, manakala jumlah kematian pula telah mencecah 285,000.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat