AS Batal Pelan Kabel Dasar Laut, Siapa Rugi Sebenarnya?

397

Amerika Syarikat (AS) bertindak membatalkan pelan pembinaan kabel dasar laut yang dihubungkan dari Los Angeles ke Hong Kong selepas Washington melahirkan kebimbangan China berkemungkinan berupaya mencuri data menerusi kabel terbabit.

Firma teknologi gergasi seperti Facebook dan Google antara yang terlibat dalam projek tersebut.

Menurut pihak berkuasa komunikasi AS, Washington merancang untuk memasang kabel dasar laut dengan Filipina dan Taiwan sahaja.

Kabel sepanjang 12,800 kilometer telah dipasang setakat ini. Bagaimanapun, kabel itu memerlukan keizinan daripada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan AS (FCC) untuk beroperasi.

Projek berkenaan diumumkan pada 2016 dan ketika itu Google berkata kabel itu menyediakan kapasiti penuh kepada penduduk Hong Kong untuk melakukan panggilan video berdefinisi HD dengan penduduk di Los Angeles.

Stesen pendaratan kabel Hong Kong yang dicadangkan akan dijalankan oleh salah sebuah syarikat pembekal rangkaian internet terbesar China, Dr Peng Group.

Walau bagaimanapun, kerajaan AS melahirkan kebimbangan berhubung keselamatan nasional tentang pembabitan Dr Peng Group dengan agensi perisikan dan keselamatan Beijing.

Menurut pakar keselamatan siber di Universiti Surrey, Prof. Alan Woodward, keputusan tersebut berkemungkinan memberi kesan kepada AS.

“Tujuan utama pemasangan kabel terbabit adalah untuk firma teknologi AS boleh meraih lebih ramai pengguna Asia terutamanya di Hong Kong yang dikenali sebagai hab kewangan Asia.

“Kerajaan AS bertindak merugikan firma teknologinya sendiri. Mereka bimbang tentang pengaruh firma teknologi China tetapi tindakan mereka itu turut merugikan syarikat-syarikat AS,” katanya.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat