Asia Pasifik Bakal ‘Bangun’ Semula Tahun Hadapan

210

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan negara-negara di Asia Pasifik akan pulih daripada kemelesetan ekonomi terburuk.

Lapor BBC, unjuran pertumbuhan bagi rantau ini diturunkan sekali lagi, kali ini daripada -1.6% kepada -2.2% untuk tahun ini.

Bagaimanapun, IMF meramalkan akan berlaku pemulihan ekonomi sebanyak hampir 7% pada tahun hadapan.

Jelas pertubuhan terbabit, China akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan rantau ini tahun hadapan, berikutan data terbaharu menunjukkan China mengalami pemulihan selepas dibelenggu impak buruk akibat pandemik Covid-19.

Awal minggu ini, China mengeluarkan data ekonominya bagi suku Julai hingga September yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara itu sebanyak 4.9% berbanding suku yang sama tahun lalu.

Namun, negara-negara seperti Malaysia, Filipina dan India masih terus ‘berjuang’ mengatasi penularan wabak berkenaan.

Tambah IMF lagi, ekonomi rantau Asia Pasifik bukan sahaja terkesan akibat pandemik malahan juga disebabkan oleh perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan yang kian memuncak antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu.

Pertubuhan itu berkata, pemulihan akan berlaku tahun hadapan namun bergantung kepada beberapa faktor termasuklah mengawal penularan virus.

“Dengan dasar yang betul dan sokongan antarabangsa apabila diperlukan, enjin Asia boleh bekerjasama sekali lagi dan merancakkan ekonomi rantau ini,” ujar Pengarah untuk Asia dan Pasifik IMF, Jonathan Ostry.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat