Australia ‘Tolak’ Starbucks

260

Starbucks merupakan rangkaian kedai kopi yang terkemuka di dunia, malahan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Variasi menu minuman serta pilihan makanan seperti kek merupakan kegemaran orang ramai di dunia.

Di Malaysia, Starbucks sudah sudah bertapak sejak 1998 dan pada hari ini, mempunyai kira-kira 300 cawangan di 58 bandar.

Punyalah hebat penangan Starbucks ini sehinggakan di China, cawangan Starbucks dibuka setiap 15 jam di sana.

Malahan, ketika penulis melancong ke sebuah negara di Asia Timur beberapa tahun lepas, Starbucks menjadi pilihan semua golongan terutamanya ketika tibanya musim sejuk.

Bagaimanapun, Starbucks gagal untuk menembusi pasaran di Australia meskipun rakyat negara itu sangat menyukai minuman kopi.

Starbucks mula bertapak di Australia pada 2000 dan berkembang di hampir 90 lokasi pada 2008.

Daripada tahun 2000 hingga 2007, Starbucks mengalami kerugian sebanyak AS$105 juta. Pada 2007, Starbucks Australia terpaksa membuat pinjaman sebanyak AS$54 juta untuk menampung kos operasinya.

Namun pada 2008, Starbucks terpaksa menutup lebih daripada 70% cawangan dan hanya mempunyai kira-kira 23 cawangan sahaja. Pada tahun yang sama, Starbucks secara rasminya menutup operasinya di Australia.

Kesilapan Starbucks adalah mereka bergerak terlalu cepat dan tidak memberi peluang kepada rakyat Australia untuk betul-betul mengenali dan mengembangkan minat mereka terhadap jenama Starbucks.

Rakyat Australia merasakan tiada yang istimewa tentang Starbucks kerana mudah didapati di mana-mana sahaja.

Selain itu, penduduk Australia lebih cenderung minum kopi espresso dan tidak gemarkan kopi yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Sejak pertengahan abad ke-20, penduduk Australia sudah mengenali kopi selepas orang Itali dan Greece berhijrah ke negara itu.

Mereka memperkenalkan espresso kepada rakyat Australia. Pada tahun 1980-an, budaya minum kopi sudah sinonim dengan rakyat Australia sehinggalah tercetus menu kopi seperti ‘flat white’ dan ‘australian macchiato’.

Di samping itu, penduduk Australia lebih meminati minuman kopi yang dijual di sebuah lagi rangkaian kedai kopi terkemuka iaitu Gloria Jean’s Coffees.

Gloria Jean’s Coffees terlebih dahulu memasuki Australia pada 1996 dan berjaya menarik minat penduduk Australia dengan menawarkan pelbagai pilihan espresso dan kopi yang premium.

Gloria Jean’s Coffees mempunyai lebih 1,000 cawangan di 39 negara, termasuklah lebih 460 cawangan di Australia.

Bagaimanapun, Starbucks enggan mengaku kalah dan membuat kemunculan semula di Australia pada 2014.

Starbucks kini mempunyai 39 cawangan di sekitar Brisbane, Melbourne, Sydney dan Gold Coast tetapi sasaran syarikat itu lebih tertumpu kepada para pelancong di Australia.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat