Bagaimana Bursa Malaysia Pada Hari Terakhir Minggu Ini?

207

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini selepas para pelabur mengambil petunjuk daripada penurunan semalam di Wall Street selain aktiviti pengambilan untung yang sederhana dalam saham wajaran tinggi.

Pada jam 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 16.17 mata kepada 1,574.61 setelah dibuka 2.4 mata lebih rendah pada 1,588.38.

Kaunter rugi dilihat mengatasi untung iaitu 272 berbanding 243 manakala 355 kaunter lain tidak berubah, sejumlah 1,300 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan ialah 1.03 bilion berjumlah RM289.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pelabur akan beralih tumpuan kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2020, yang akan menyaksikan penguncupan yang sederhana berbanding suku tahun sebelumnya berikutan aktiviti ekonomi telah disambung semula secara berperingkat.

“Pada masa ini, kami berpendapat indeks utama akan meningkat dan dijangka merosot dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, saham berharga rendah terus disokong oleh pasaran yang dipacu mudah tunai berikutan pelabur memanfaatkan sentimen pasaran yang positif,” katanya dalam nota hari ini seperti dipetik oleh Bernama.

Dari segi sektor, firma penyelidikan itu terus memilih sektor perladangan, berikutan harga minyak sawit mentah yang tinggi akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Berdasarkan potensi turun naik yang baharu, harga emas yang meningkat semula dijangka turut mewujudkan minat dagangan baharu dalam saham berkaitan emas, katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 10 sen kepada RM7.70, Public Bank susut 28 sen kepada RM17.64, Tenaga turun 26 sen pada RM11.22, sementara Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM6.73.

Bagaimanapun, Top Glove naik enam sen kepada RM7.76 dan Hartalega melonjak empat sen kepada RM15.40.

Saham-saham paling cergas pula, Xidelang turun setengah sen kepada sembilan sen, Metronic dan AT Systematization naik setengah sen kepada 13.5 sen serta 22.5 sen, sementara Salcon menambah 1.5 sen kepada 39.5 sen dan Netx melonjak satu sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 85.06 mata pada 11,320.28; Indeks FBM Emas Shariah susut 71.93 mata kepada 13,248.84 dan Indeks FBMT 100 turun 83.97 mata kepada 11,119.02.

FBM 70 naik 7.97 mata kepada 14,595.57 dan FBM ACE meningkat 18.98 mata kepada 11,371.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 190.76 mata kepada 13,391.85; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menurun 0.45 mata kepada 155.77 dan Indeks Perladangan merosot 53.26 mata kepada 7,1227.39.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat