Bagaimana Mi Segera Boleh Tercipta?

183

Bagaimana pencipta mi segera boleh terfikir hendak mencipta mi segera sehinggakan makanan tersebut menjadi popular di seluruh dunia?

Jika di negara ini, setiap isi rumah pasti mempunyai mi segera. Mi segera paling popular dikaitkan dalam kalangan pelajar asrama di negara ini.

Secara kasarnya, kira-kira 290 juta manusia makan mi segera di seluruh dunia setiap hari. Punyalah hebat penangan mi segera ini sehinggakan makanan berkenaan boleh dimakan di angkasa lepas. Malahan angkasawan juga memberitahu mereka suka makan mi segera di angkasa.

Pernah tak anda terfikir, bagaimana manusia boleh terfikir untuk mencipta mi segera?

Pada tahun 1958, mi segera dicipta untuk membantu mereka yang mengalami kelaparan di Jepun. Malahan mi segera disifatkan sebagai makanan yang sedap, murah dan mudah dihidangkan.

Jadi bagaimana seorang lelaki berusia 48 tahun dari Jepun yang tidak tahu-menahu mengenai mi, boleh mewujudkan industri bernilai multibilion dolar?

Lelaki berkenaan, Momoku Ando, sebelum mencipta mi segera, beliau pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual kain, arang dan membuka sekolah.

Kisah mengenai Ando ini sentiasa ditokok tambah dan menjadi mitos dari masa ke semasa. Sehinggakan, Ando mempunyai kisah tersendiri dalam buku kisah dongeng kanak-kanak dan juga filem pendek anime tentang asal-usul beliau yang diberi tajuk Samurai Noodles.

Jika anda ingin tahu bagaimana mi segera boleh tersebar luas, kita perlu ‘throwback’ sekitar tahun 1940 di Jepun.

Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat Jepun berdepan masalah kebuluran dan tanaman turut terjejas dalam tempoh beberapa dekad.

Ketika itu, ramai orang beratur untuk makan mi atau lebih dikenali sebagai ramen di gerai tepi jalan. Berikutan undang-undang catuan makanan yang ketat dan larangan menjual makanan jalanan, banyak kedai makanan yang tidak diiktiraf semakin berkembang ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Orang ramai juga terpaksa mendapatkan sayur-sayuran daripada pasaran gelap.

Waktu itu, Jepun sangat bergantung kepada gandum yang disediakan oleh Amerika Syarikat (AS) semasa pendudukan negara itu di Jepun.

Ramen dan gyoza (ladu) dihasilkan dari tepung gandum dan dijadikan sebagai makanan untuk tujuan menambahkan stamina kerana berkalori tinggi dan mengenyangkan. Tetapi ketika itu, gandum yang disediakan oleh AS hanya khas untuk membuat roti.

Ando pada ketika itu hairan, mengapa kerajaan tidak mahu menggunakan lebihan tepung gandum untuk membuat mi kerana mi merupakan makanan ruji di Jepun.

Beliau memberitahu ‘jika anda ingin ubah diet anda, bermakna anda telah membuang tradisi dan budaya anda’. Ando percaya jika masyarakat Jepun menyesuaikan diri dengan makan roti ibarat mereka menyesuaikan diri dengan budaya Barat.

Ando berpendapat menghasilkan ramen lebih mudah dan senang untuk disediakan. Mi segera juga akan menjadi penyelesaian masalah kebuluran di Jepun.

Bagaimanapun, idea Ando itu ditolak bulat-bulat oleh kerajaan Jepun ketika itu. Oleh itu, Ando memutuskan untuk menghasilkan sendiri mi segera tanpa bantuan daripada kerajaan.

Namun, untuk menghasilkan mi segera bukanlah senang, tambahan pula Ando tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam membuat mi tetapi beliau tekad untuk menghasilkan mi segera yang sedap.

Setelah setahun bereksperimen, Ando akhirnya berjaya menghasilkan mi segeranya sendiri.

Menurut kisah yang dipaparkan dalam anime Samurai Noodles, Ando melihat isterinya sedang menggoreng tempura. Dari situ, Ando terfikir kaedah menggoreng merupakan kunci kepada mi segera.

Menggoreng ini boleh mengeluarkan kelembapan mi dan serta boleh disimpan untuk jangka masa yang lama dan kemudiannya boleh dihidrat semula dengan air panas.

Apa yang hebat mengenai penemuan Ando ini adalah bukan dihasilkan secara tidak sengaja. Kebanyakan penemuan makanan seperti Coca Cola, cip kentang dan kon aiskrim dicipta secara tidak sengaja tetapi mi segera dihasilkan secara teliti oleh Ando.

Pada 1958, Ando mengeluarkan mi segera perisa ayam dikenali sebagai Chickin Ramen dan menukar nama syarikatnya kepada Nissin. Beliau juga membuka gerai jualan di Tokyo untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk merasa produknya.

Pada mulanya, Ando menjual mi segera 5 kali ganda daripada harga mi mentah tetapi disebabkan makanan itu mudah dan sedap membuatkan orang ramai tertarik.

Orang ramai turut menggelar mi segera Ando sebagai ‘magic ramen’ kerana boleh dimakan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua selama bertahun-tahun, ekonomi Jepun mula berkembang dan tanaman turut semakin baik. Faktor itu menyebabkan lebih banyak gandum dapat dihasilkan.

Situasi ketika itu begitu memihak kepada Ando. Chickin Ramen dijual sebanyak 13 juta unit pada tahun pertama penjualannya. Angka itu bertambah sebanyak berbilion unit dalam tempoh sedekad.

Disebabkan mi segera keluaran syarikat Ando popular, banyak syarikat lain turut mengeluarkan mi segera.

Pada tahun 1968, dianggarkan kira-kira 3.5 bilion mi segera dijual di Jepun.

Tetapi Ando tidak berhenti setakat itu sahaja. Ketika beliau berusia 61 tahun, Ando terfikir untuk menghasilkan mi segera dalam bentuk cawan pada 1971.

Seperti juga Chickin Ramen, jualannya mendapat sambutan ramai sehinggakan mi segera dari Nissin tidak dapat memenuhi permintaan yang sangat banyak walaupun mereka mengeluarkan 650 ribu cawan mi segera setiap hari.

Mi segera cawan lebih laku jualannya daripada mi segera bungkus pada tahun 1989. Pada hari ini, jualan mi segera cawan dua kali ganda lebih tinggi daripada penjualan mi segera bungkus di Jepun.

Pada hari ini sahaja, sudah beratus perisa mi segera diperkenalkan di Jepun tetapi mi segera bukan saja popular di negara Matahari Terbit itu malahan di negara lain.

China merupakan pasaran terbesar mi segera dan statistik menunjukkan masyarakat negara itu makan lebih daripada 40 bilion hidangan setiap tahun.

Setiap individu di Korea Selatan pula makan 75 hidangan mi segera setiap tahun.

Di AS, mi segera Top Ramen keluaran Nissin diperkenalkan pada 1972. Enam tahun kemudian, surat khabar The Washington Post mengatakan mi segera kini menggantikan televisyen sebagai eksport terhangat Jepun ke AS.

The New York Times pula melaporkan peningkatan selera rakyat AS terhadap ramen tidak dapat dipertikaikan lagi.

Ando bersara ketika berusia 95 tahun dan syarikat Nissin dilaporkan memperoleh pendapatan lebih 450 bilion yen pada 2019. Syarikat Nissin kini diambil alih oleh anak lelaki Ando iaitu Koki.

Di sebalik kejayaannya, Ando tidak pernah lupa tujuan asal beliau mencipta mi segera iaitu membantu menamatkan kebuluran.

Pada tahun 1997, Ando menubuhkan persatuan mi segera dunia yang bertujuan untuk meningkatkan industri mi segera dan menyediakan bantuan kecemasan. Sejak penubuhannya, organisasi berkenaan telah membantu menyumbangkan beratus ribu hidangan mi segera.

 

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat