Bagaimana ‘Nasib’ Belanjawan 2021?

291

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan kebimbangan terhadap sesi undian kelulusan Belanjawan 2021 pada Khamis ini.

Pada 9.17 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.75 mata kepada 1,593.73 daripada 1,597.48 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, kaunter untung dan rugi masing masing ialah 322 dan 388 manakala 409 kaunter tidak berubah, 1,257 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.62 bilion bernilai RM785.67 juta.

Malacca Securities dalam nota penyelidikan hari ini berkata, FBM KLCI telah diniagakan dalam keadaan kurang memberangsangkan berikutan indeks utama diuji semula pada paras psikologi 1,600.

“Memandangkan ketiadaan kegiatan belian, kami berpendapat bursa tempatan akan bersedia untuk pengukuhan yang selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, pada masa yang sama, suasana yang tidak pasti ke atas sesi undian kelulusan Belanjawan 2021 turut menyebabkan pelabur sentiasa berwaspada.

Sementara itu, sektor tenaga muncul sebagai sektor berprestasi terbaik ketika dibuka berikutan minyak mentah Brent meningkat kepada paras tertinggi dalam masa lapan bulan susulan keyakinan di peringkat global.

Bloomberg melaporkan harga minyak global mencapai paras tertinggi sejak Mac ekoran harapan kepada pelaksaaan vaksin dalam beberapa minggu ini yang mencerminkan unjuran penggunaan bahan api.

“Niaga hadapan minyak mentah Brent menokok 2.5 peratus di London susulan peningkatan pasaran lebih meluas selepas AstraZeneca Plc menjadi syarikat terbaharu yang memaklumkan vaksin yang melindungi kebanyakan orang.

“Prospek rawatan mula membentuk semula keluk niaga hadapan minyak dengan sebahagian harga dalam masa terdekat meningkat semula melebihi tarikh yang akan datang, struktur peningkatan yang dikenali sebagai bayaran tangguh serah yang memberi isyarat kepada pelabur untuk menjangkakan bekalan dan penawaran akan kembali seimbang,” ujarnya.

Pada 9.30 pagi, harga minyak mentah Brent berada pada AS$46.03 setong.

Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Top Glove mendahului kaunter rugi apabila merosot 43 sen kepada RM6.92 susulan berita penutupan sementara kilangnya apabila para pekerja djangkiti Covid-19.

Ini diikuti Petronas Dagangan yang turun 92 sen kepada RM21.18 dan Hap Seng Consolidated yang jatuh 13 sen kepada RM8.36.

Dalam kalangan saham aktif, Pegasus Heights tidak berubah pada 30 sen, Vivocom berkurangan 23 sen kepada 99 sen dan P A resources susut 1.5 sen kepada 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 21.80 mata kepada 11,468.87, Indeks FBMT 100 turun 22.80 mata kepada 11,468.87,Indeks FBM Emas Shariah susut 58.14 mata kepada 13,211.50 dan FBM 70 turun 15.42 mata kepada 14,761.15.

FBM Ace turun 109.97 mata kepada 10,960.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.48 mata kepada 159.40, Indeks Perladangan turun 0.29 mata kepada 7,341.07, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 64.23 mata kepada 14,034.97.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat