Bagaimana Pasar Raya ‘Perangkap’ Anda Untuk Kaut Keuntungan?

2,717

Pasar raya mempunyai banyak ‘perangkap’ yang telah direka untuk membuatkan para pengguna berbelanja lebih daripada apa yang dirancang.

Namun dengan sedikit perancangan dan disiplin, kita sebagai pengguna boleh melepasi setiap ‘perangkap’ yang telah dipasang oleh pasar raya.

Dalam artikel kali ini, team INTRADAY akan ‘membongkar’ bagaimana pasar raya menjana pendapatannya.

Selangkah anda memasuki pasar raya, deria anda telah ‘dipermainkan’. Ada pasar raya yang meletakkan kaunter roti di bahagian pintu masuknya, jadi para pengguna sudah terbau roti yang baharu dimasak.

Kemudian dengan alunan muzik lembut yang dipasang oleh pasar raya, semua ini telah ‘dirancang’ untuk membuatkan anda berasa santai dan tidak terburu-buru. Jadi anda boleh meluangkan banyak masa untuk membeli barang.

Jika anda seperti kebanyakan orang lain, tentu anda akan mula membeli barangan di bahagian barangan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Kajian mengatakan apabila kita memenuhkan troli dengan makanan sihat, pengguna akan ‘memberi ganjaran’ kepada diri sendiri dengan membeli makanan ringan.

Kadang-kala, kita akan mudah tertarik juga untuk membeli buah-buahan yang telah dipotong di pasar raya. Namun, jika anda membandingkan harganya berdasarkan berat buah-buahan itu, anda mungkin perlu membayar kira-kira 200-300% daripada harga sebiji buah-buahan yang belum dipotong.

Sayur-sayuran dan buah-buahan yang telah dipotong juga memendekkan jangka hayat produk terbabit, sekali gus merugikan anda.

Selepas itu, buah-buahan yang kita lihat berair atau ‘juicy’ seakan-akan segar, cuma untuk persembahan semata-mata. Pasar raya cuma menyembur air pada buah-buahan berkenaan.

Bagaimanapun, penyemburan air yang berterusan meningkatkan peluang untuk bakteria tumbuh pada buah-buahan dan sayur-sayuran serta boleh menyebabkannya cepat rosak.

Selain itu, menyembur air pada sayur-sayuran juga boleh membuatkan sayur-sayuran itu menjadi berat, sekali gus menjadi mahal apabila ditimbang. Anda dinasihatkan untuk menggoncang dahulu sayur-sayuran itu sebelum membeli.

Apabila kita memilih produk yang disusun di rak pasar raya, pastikan anda melihat dari atas ke bawah kerana produk yang mahal akan diletakkan di tempat yang mudah dilihat oleh pengguna dengan harapan anda tidak perasan produk lebih murah yang ditempatkan di bahagian bawah.

Sampel percuma yang diberikan di pasar raya turut memancing emosi kita berbanding citarasa. Contohnya, apabila anda sudah merasai sampel percuma tersebut dan mendengar penjelasan mengenai produk daripada jurujual terbabit, sudah tentunya anda akan tertarik untuk membeli barangan berkenaan.

Pihak pasar raya bukan sahaja ingin pengguna membeli barangan yang mahal tetapi mahu anda membeli seberapa banyak barangan yang boleh. Sebagai contoh, promosi air berkarbonat yang dijual 6 tin dalam satu pek.

Ramai yang menganggap apabila membeli pek seperti itu, akan menjimatkan namun sebenarnya tidak. Jika anda melakukan kira-kira semula, harga seunit produk itu adalah sama sahaja tidak kira berapa banyak pun anda beli.

Troli turut memainkan peranan penting. Ujian pemasaran menunjukkan bahawa pembeli akan menghabiskan lebih 40% daripada wang anda apabila menggunakan troli yang saiznya dua kali ganda lebih besar.

Saiz yang troli yang besar juga membuatkan anda susah untuk membuat ‘pusingan U’ apabila melalui setiap ruangan rak produk, maka anda terpaksa menggunakan laluan yang jauh.

Semakin jauh perjalanan anda bersama troli di pasar raya itu, semakin tinggi nafsu anda untuk menambah barangan yang ‘tidak dirancang’.

Selepas anda sudah selesai memilih barangan yang anda mahukan, ada satu lagi ‘halangan’ yang perlu diharungi iaitu ketika beratur di kaunter juruwang.

Selalunya di kawasan kaunter pembayaran, pasar raya akan menyusun barang-barangan seperti gula-gula, coklat, majalah dan aiskrim. Pihak pasar raya tahu, ketika anda berada di kaunter itu, anda sedang mengalami ‘decision fatigue’, menurut ahli psikologi.

Keputusan anda akan dikawal oleh keletihan membeli-belah, maka apabila anda penat, anda tidak akan berfikir sangat untuk berjimat lagi. Faktor itu akan membuatkan anda mengambil barangan yang dipamerkan di bahagian juruwang sebagai ganjaran untuk diri sendiri.

Strategi itu telah diperhalusi selama beberapa dekad untuk pengguna berbelanja dengan lebih banyak.

Apa yang tidak bagusnya, mereka yang cenderung membeli banyak barangan ini akan turut membazir. Namun membeli barangan dari pasar raya dan masak di rumah adalah lagi murah dan menyihatkan berbanding makan di luar.

Tabiat jarang memasak di rumah menjadi antara sebab utama mengapa golongan milenial menghadapi masalah untuk menyimpan duit kerana terlalu kerap makan di luar.

Jadi, bagaimana kita hendak bersedia daripada terperangkap daripada muslihat pasar raya?

Pertama sekali, senaraikan apa yang anda mahu beli di atas kertas atau paling mudah, dalam telefon pintar anda. Selain itu, pilih troli yang bersaiz kecil bagi mengelakkan anda terlebih berbelanja.

Gunakan penyumbat telinga dan dengar lagu yang rancak ketika membeli-belah dalam pasar raya kerana akan membuatkan anda lebih fokus.

Paling penting, jangan pergi ke pasar raya ketika perut anda tengah lapar kerana itu akan menjadikan anda teringin untuk membeli semua barangan.

Sebagai pengguna, anda perlu bijak ketika membeli-belah dan jangan boros ketika berbelanja.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat