Bagaimana Perang Dagang Dua Kuasa Ekonomi Ini Tercetus dan Apa Puncanya?

1,172

Nampaknya semangat ‘protectionism’ iaitu sikap yang terlalu melindungi ekonomi tempatan semakin meninggi di Amerika Syarikat yang dimulai oleh Presiden Trump sejak memegang tampuk pemerintahan. Sikap ‘protectionism’ ini boleh dilihat dalam usaha Amerika Syarikat mengenakan tariff terhadap rakan dagangnya.

Tariff iaitu cukai terhadap barangan import dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara rakan dagangnya kerana mendakwa dagangan dua-hala selama ini adalah tidak adil dan hanya merugikan mereka. Paling banyak berhadapan dengan tuduhan keras Trump adalah China yang disifatkan beliau sebagai menipu dalam kaedah dagangannya.

Bermula dengan tariff terhadap panel solar dan mesin basuh pada awal tahun ini, kepada tariff terhadap keluli dan aluminium sehinggalah penganalisis melihat perkara ini adalah bibit-bibit awal ‘perang perdagangan’ global. Mana tidaknya, ancaman untuk mengenakan tariff oleh AS bakal dibalas dengan kaedah sama terhadap barangan import dari Amerika Syarikat. Negara-negara yang menyuarakan tindak-balas sama itu adalah China, Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Mexico.

Trump Cuba Halang Inisiatif “Made In China 2025” Oleh China

Presiden Trump dijangka akan mengumumkan tindakan terbaru untuk mengawal pelaburan China dalam pengambil-alihan syarikat teknologi di Amerika Syarikat. Wall Street Journal pada Isnin melaporkan bahawa pentadbiran Trump sedang menimbang dua inisiatif untuk menghalang China merealisasikan matlamat barangan “Made In China 2025”.

Jika direalisasikan perancangan baru ini akan menghalang syarikat yang dimiliki 25% atau lebih oleh China daripada membeli teknologi dari Amerika Syarikat dan ini termasuk pengambilalihan syarikat yang berasaskan teknologi di negara itu.

Trump Mahu Melindungi Industri Teknologi di Amerika

Presiden telah menjelaskan kemahuannya untuk melindungi teknologi Amerika di mana semua kebarangkalian akan diambil kira untuk melindungi industri itu daripada pihak luar. Oleh itu, beberapa polisi dalam import-eksport sedang dikaji semula oleh kerajaan Amerika.

Penasihat ekonomi Trump, Peter Navarro melihat tindakan terbaru untuk melindungi teknologi dari Amerika Syarikat adalah perlu.

Ketegangan Perdagangan Dua Kuasa Ekonomi Besar Dunia Berterusan

Penetapan kadar pemilikan oleh China terhadap syarikat teknologi di AS hanya menambah ketegangan terhadap dua negara ini. Konflik dagangan global ini bermula apabila Trump secara terbuka mengkritik China pada tahun lalu yang disifatkan beliau menipu dalam tukaran matawang. Hal ini berlanjutan sehingga Trump sekali lagi menuduh China menipu dalam perdagangan.

Hubungan AS-China menjadi semakin buruk dan merisikokan pasaran kewangan global apabila beberapa siri berbalas tariff antara kedua-dua negara berlaku. Pada mulanya AS mengenakan tariff $50 billion terhadap terhadap produk import dari China.

China berkata tidak akan hanya berdiam diri dan akan melakukan apa yang perlu bagi melindungi kepentingan mereka. Hasilnya, China membalas dengan mengenakan tariff $50 billion terhadap 106 produk daripada Amerika Syarikat.

Pada 19 Jun, Trump sekali lagi mengarahkan penelitian US$200 billion barangan China yang akan dikenakan tariff. Dalam kenyataannya pada Isnin minggu lalu, Trump berkata telah mengarahkan pegawainya untuk meneliti barangan China yang akan dikenakan tariff baru itu sebagai tindak balas terhadap tindakan China yang mengenakan tariff US$50 billion terhadap produk dari AS.

“China nampaknya tiada niat untuk mengubah tindakan ‘tidak-adil’ mereka yang berkaitan dengan pengambil-alihan harta-intelek dan teknologi Amerika Syarikat. Mereka kini mengancam syarikat Amerika, pekerja, dan petani,” kata Trump.

China juga menyatakan kesediaan mereka untuk melawan balik tindakan tariff yang dikenakan oleh Amerika jika tariff baru itu menjadi realiti.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat