Bank Dunia: Tindakan BNM Stabilkan Ringgit Perlu

69

Langkah baharu Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meningkatkan kecairan dalam pasaran mata wang asing, untuk menstabilkan penyusutan ringgit, dianggap sebagai tindakan yang wajar, kata ahli ekonomi Bank
Dunia.

Ahli ekonomi negara Shakira Teh Sharifuddin berkata sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus dasar monetari negara, sudah menjadi prerogatif untuk BNM melaksanakan langkah-langkah bagi merangsang ringgit yang lemah.

“Bank pusat melakukan apa yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Ekonomi Negara 2017-2018, hari ini.

Langkah yang diumumkan pada Jumaat lepas termasuk membolehkan pemastautin termasuk pengurus dana pemastautin bebas dan aktif melindung nilai dolar AS mereka dan Renminbi China dengan pendedahan sehingga had RM6 juta bagi setiap pelanggan di sesebuah bank.

Pemastautin dengan pinjaman ringgit domestik bebas melabur dalam aset mata wang asing di dalam dan di luar negara, sehingga had RM50 juta bagi korporat dan RM1 juta bagi individu.

Satu lagi tindakan yang berkuat kuasa pada Isnin, ialah membolehkan pengeksport mengekalkan sehingga 25 peratus keuntungan eksport dalam mata wang asing dan baki 75 peratus dalam ringgit.

Mengenai unjuran ekonomi Malaysia, beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan meningkat sehingga 2018, didorong oleh permintaan domestik.

Beliau berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.2 peratus tahun ini, diikuti 4.3 peratus tahun depan dan 4.5 peratus pada 2018.

“Pertumbuhan akan dipacu oleh penggunaan swasta manakala permintaan dalam negeri masih suram,” katanya.

Persidangan dua hari itu, anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, membincangkan pelbagai isu termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, ekonomi hijau, perdagangan dan kemajuan Malaysia menjelang 2020.

Sumber: Bernama

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat