Banyak Pasaraya Giant Ditutup, Ekonomi Malaysia Makin Tenat?

2,159

Dairy Farm International Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong, pengendali pasaraya terbesar di Malaysia telah menutup sekurang-kurangnya 6 cawangan pasaraya Giant setakat ini dan dijangka lebih banyak pasaraya akan ditutup.

Penutupan ini dilaporkan dipengaruhi faktor persaingan daripada pasaraya baru dalam pasaran di samping trend pembelian secara online yang semakin meningkat. Banyak pasaraya yang menawarkan barang-barang keperluan yang sama dan mudah didapati secara online serta mendapat penghantaran terus ke rumah.

Terdahulu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2019 yang kukuh pada 4.9%. Bagaimanapun, ringgit dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 1.5% dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global dan domestik. Penyusutan ringgit menyebabkan kos barang pengguna semakin meningkat.

Peningkatan kos sara hidup menyebabkan pengguna mula mengurangkan kos perbelanjaan harian. Berikutan daripada keadaan ini, harga di pasaraya Giant sudah tidak relevan lagi memandangkan banyak pasaraya sama yang menawarkan harga lebih rendah.

Selain itu, inflasi keseluruhan mencatatkan purata yang lebih tinggi pada suku kedua 2019 iaitu 0.6% daripada suku pertama -0.3%. Peningkatan ini mencerminkan luputnya kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar yang dilaksanakan pada Jun 2018.

Menurut GCH Retail, pembentukkan dan penyusunan semula perniagaan sedang dijalankan untuk memenuhi keperluan pengguna yang lebih baik. Anak syarikat tempatan Dairy Farm iaitu GCH Retail (M) Sdn Bhd mengendalikan 147 buah kedai pada tahun 2014 namun jumlah tersebut berkurang kepada bawah 100.

Bagaimanapun, penutupan ini bukan sahaja terjadi di Malaysia namun di Asia Tenggara juga turut terkena tempias yang sama. Pada tahun lepas, dua buah pasaraya Giant telah ditutup di Singapura manakala di Indonesia 6 buah cawangan pasaraya akan ditutup.

Malaysia, sebagai sebuah negara membangun tidak lepas daripada menerima tekanan daripada persekitaran ekonomi global yang mencabar. Trend perbelanjaan pengguna juga berubah menyebabkan sektor-sektor perniagaan seperti pasaraya Giant turut terkesan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat