Bekerja Di Pejabat Dah Tak Relevan? 80% Majikan Tak Setuju ‘Work From Home’

272

‘Dah sedap buat kerja dari rumah, siapa je nak pergi office dah kan.’

Satu tinjauan yang dijalankan Microsoft Corp mencetus perdebatan mengenai kadar produktiviti pekerja tatkala pilihan kerja dari rumah (work from home atau WFH) menjadi trend.

Kajian yang dilakukan tersebut telah menyoal lebih 20,000 pekerja Microsoft di 11 negara berkenaan pendapat mereka tentang produktiviti kerja semasa WFH.

Hasilnya, 87% pekerja mengatakan mereka lebih produktif semasa WFH sementara 80% majikan tidak bersetuju.

Ulas Ketua Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, bahawa syarikat tidak menjangkakan keputusan tersebut namun perlu mengambil maklum perkara itu memandangkan lebih 80% individu merasakan mereka lebih produktif semasa WFH.

Suka untuk diingatkan bahawa pilihan WFH mulai mendapat sambutan ketika penyebaran Covid-19 melanda dunia pada 2020.

Sekatan perjalanan yang memaksa penduduk dunia duduk di rumah sambil meneruskan aktiviti perniagaan telah membuatkan kebanyakan syarikat memilih WFH bagi memudahkan pekerja mereka.

Berbalik kepada cerita asal, dapatan baharu tersebut secara tidak langsung juga mencetus perdebatan mengenai keperluan kembali ke pejabat untuk bekerja.

Tambah Ryan Roslansky, ketua Linkedin milik Microsoft, dapatan tersebut mendatangkan kerunsingan kepada majikan yang terpaksa mengikuti perubahan corak kerja semasa.

Malah jelas beliau lagi bahawa kadar bagi mereka yang pilih WFH pada laman Linkedin meningkat dari 2% kepada 20% dalam beberapa bulan ini.

Dan sungguhpun Microsoft dilihat berjaya mengadaptasi pilihan WFH, syarikat lain seperti Apple dan Tesla memaksa para pekerjanya untuk kembali berkerja ke pejabat.

Dalam pada itu, Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) mendapati bilangan rakyat yang menuntut faedah pengangguran meningkat.

Difahamkan tuntutan awal bagi faedah pengangguran meningkat 5,000 kepada 213,00  namun masih di bawah unjuran yang disemak pada 220,000.

Ijmalnya, perkara ini mungkin meningkatkan lagi perdebatan terhadap pilihan WFH antara majikan dan pekerja.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat