Benar Seperti Dijangkakan, RBA Naikkan Kadar Faedah 25 Mata Asas!

133

Menepati jangkaan secara meluas, Reserve Bank of Australia (RBA) meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas untuk bulan kedua berturut-turut.

Ini menjadikan kadar tunai rasmi meningkat kepada paras tertinggi 9 tahun sebanyak 2.85% susulan tujuh kenaikan berturut-turut dilaksanakan sejak Mei.

Dalam kenyataan susulan keputusan tersebut, Gabenor Philip Lowe mengatakan para penggubal dasar melihat jangkaan untuk meningkatkan lagi kadar faedah dalam tempoh akan datang.

Sehubungan itu, bank pusat sedang memantau ekonomi global, perbelanjaan isi rumah dan tingkah laku penetapan gaji dan harga dengan teliti, ujar Gabenor Lowe.

Tambahan daripada itu, ia juga menyemak semula unjuran inflasi dengan menaikkan jangkaan terhadap indeks harga pengguna (CPI) yang diramalkan memuncak sekitar 8% pada akhir tahun ini daripada 7.75% anggaran sebelumnya.

Ekoran daripada keputusan tersebut, reaksi dolar Aussie melihatkan mata wang itu sedikit menyusut namun kekal stabil pada sekitar harga 0.6427 berbanding US dolar.

Sejak bulan lalu, RBA telah mula berubah arah dengan kenaikan yang lebih perlahan dalam kadar faedahnya, berbeza dengan Federal Reserve (Fed) dan Bank of England (BOE) yang dijangka akan menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas minggu ini.

Antara punca utama kepada peralihan ini adalah kebimbangan Lowe terhadap kesan kos pinjaman yang lebih tinggi ke atas sektor isi rumah yang bergelut dengan hutang dan pendapatan mereka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat