Benarkah Presiden Kim Jong Un Telah Meninggal Dunia?

897

Pada hujung minggu lalu, dunia telah digemparkan dengan berita bahawa Presiden Korea Utara, Kim Jong-un didakwa meninggal dunia. Menurut sebuah laporan, Kim dikhabarkan mengalami masalah kesihatan yang serius. Namun begitu, Korea Utara belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung isu tersebut.

Menurut Pakar Sains Politik Korea Utara, Profesor Robert Kelly berkata desas-desus berkenaan masalah kesihatan pemimpin itu timbul setelah beliau didapati tidak hadir pada majlis memperingati kelahiran datuknya yang merangkap sebagai Presiden Korea Utara, Kim Il Sung pada 15 April lalu. Malah pemimpin itu didakwa tidak dapat dikesan sejak hari itu dan dikatakan tidak berada di ibu negara Pyongyang.

Sehubungan dengan itu, terdapat banyak khabar angin yang mula tersiar di peringkat antarabangsa. Begitu juga dengan media Amerika Syarikat yang mendedahkan bahawa Kim Jong Un didapati telah meninggal dunia. Selain itu, beliau yang berusia 36 tahun itu dikatakan mengalami masalah obesiti, seorang perokok tegar dan pernah menghidapi gout. Justeru itu, ada yang mendakwa bahawa beliau berhadapan dengan masalah jantung yang serius.

Tambahan daripada itu, sebuah laporan mendakwa bahawa Kim Jong Un didapati telah mengalami kecederaan semasa ujian peluru berpandu pada 14 April yang lalu. Berdasarkan laporan berkenaan, presiden itu masih sihat ketika peluru tersebut ditembak. Namun, beliau didakwa tidak hadir pada sesi laporan ujian itu gara-gara sebuah kemalangan telah berlaku. Di samping itu, kemalangan tersebut didakwa berpunca daripada serpihan atau kebakaran.

Hari ini, terdapat khabar yang menyatakan bahawa China telah menghantar sebuah kumpulan termasuk pakar perubatan bagi menasihati Kim Jong Un berkaitan masalah kesihatan yang dihadapi. Walau bagaimanapun, negara itu enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan kenyataan itu dan bertindak mendiamkan diri. Berdasarkan sebuah sumber, sebuah delegasi yang diketuai oleh anggota kanan Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China didakwa telah berangkat ke Korea Utara pada Khamis lalu.

Di samping itu, sebuah laman web yang berpusat di Seoul, melaporkan bahawa Kim Jong Un kini berada dalam proses pemulihan setelah menjalani pembedahan jantung pada 12 April yang lalu. Sementara itu, terdapat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa pemimpin tersebut turut mengalami komplikasi ketika pembedahan dijalankan.

Berikutan dengan pelbagai spekulasi yang timbul, Korea Selatan pada hari ini menafikan khabar angin yang tersebar serta mendedahkan bahawa Kim Jong Un masih hidup dan berada dalam keadaan sihat. Berdasarkan kenyataan tersebut, Kim Jong Un didapati berada di Wonsan sejak 13 April yang lalu serta tiada pergerakan yang mencurigakan dikesan di sebalik kehilangan pemimpin itu.

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat