Berita Dari China Buatkan Pelabur Ekuiti Resah Hati Pada Awal Minggu

173

Spekulasi positif di China buatkan pasaran ekuiti alami lantunan pada Jumaat namun dihadkan semasa hujung minggu dengan penafian dari pihak berkuasa Beijing.

Sesi dagangan New York Jumaat lepas dihangatkan dengan berita pelonggaran sekatan dasar sifar-Covid China yang mendorong ekuiti memasuki rali tatkala dolar menyusut.

Namun, rali tersebut dipatahkan pada hujung minggu apabila pegawai kesihatan mengulangi komitmen mereka dalam pendekatan ‘pembersihan dinamik’ kes Covid di China.

Ulas pakar ekonomi NAB, Tapas Strickland, tanggapan China akan melonggarkan dasar sifar-Covid mungkin tidak akan terlaksana sehingga Mac depan.

Hal ini kerana China bakal tempuhi musim sejuk dan ia memberi gambaran bahawa warga Tembok besar terpaksa hidup dengan Covid semasa Tahun Baru bukan sesuatu yang baik kepada ekonomi.

Selain itu, data Amerika Syarikat (AS) yang bercampur dengan kadar pengangguran meningkat membuatkan pelabur menilai semula keadaan ekonomi negara Uncle Sam.

Dalam pada itu, situasi pagi ini menyaksikan ekuiti Asia dibuka positif dengan Nikkei 225 Jepun dan Topix naik 0.75% sementara Kospi Korea Selatan canak 0.86% dan S&P/ASX 200 Australia tambah 0.43%.

Secara keseluruhannya, ekuiti Asia dinilai masih alami lantunan dengan indeks meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun lonjak 0.4%.

Pada sisi berbeza, tumpuan utama minggu ini dalam kalangan pelabur bakal tertumpu kepada pilihan raya Kongress yang bakal berlangsung pada esok sementara data inflasi AS dijadualkan diterbitkan pada Khamis.

Turut dinilai oleh pelabur adalah data sentimen pengguna AS pada hujung minggu dan bacaan petumbuhan ekonomi di Britain.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat