Betapa Pentingnya Vaksin Covid-19!

303

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melahirkan keyakinan bahawa program vaksinasi negara Covid-19 yang dijangka selesai pada suku pertama 2022 akan membantu memacu pemulihan ekonomi Malaysia.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer pada akhir Februari ini.

“Pembekalan vaksin dijangka bermula awal Mac dan selesai dalam tempoh 12 bulan atau menjelang suku pertama 2022,” katanya ketika program temu bual bersama CNBC hari ini.

Program vaksinasi negara Covid-19 yang dijadualkan bermula awal Mac depan akan dilaksanakan secara berfasa bagi tempoh 12 hingga 18 bulan, dengan 80% penduduk negara ini atau hampir 27 juta orang, dijangka menerima suntikan vaksin itu menjelang suku pertama 2022.

Sementara itu, ujar Tengku Zafrul, Malaysia terus mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 pada 6.5-7.5% dan sasaran defisit fiskal pada 5.4% daripada KDNK tahun ini.

Beliau yakin ekonomi akan disokong oleh pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang bertujuan membantu pelbagai sektor serta perusahaan kecil dan sederhana serta mikro di negara ini.

Apabila ditanya sama ada risiko defisit fiskal akan meningkat sekiranya kerajaan perlu lebih banyak peruntukan untuk memerangi lonjakan kes pandemik Covid-19 di Malaysia, Tengku Zafrul tidak menganggapnya begitu.

“Sekiranya kami perlukan lagi suntikan fiskal untuk merangsang ekonomi akan memberi impak kepada sasaran defisit. Tetapi suntikan fiskal akan membantu pertumbuhan hasil dan KDNK, jadi sasaran 5.4% seharusnya kekal sama,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan masih sedang memantau dengan rapat situasi Covid-19.

“Jika sekiranya terdapat keperluan bagi suntikan fiskal untuk membantu memulihkan ekonomi dalam tempoh jangka pendek, itu adalah sesuatu yang kerajaan perlu lakukan.

“Tetapi hari ini, kami masih mengekalkan belanjawan yang baru-baru ini diluluskan oleh kerajaan,” katanya.

Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu Covid-19 semalam yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 198,208 kes setakat ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat