Biden Didesak Selesaikan Isu Pendatang

200

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden didesak tentang usahanya untuk menangani kebanjiran pendatang asing di bahagian selatan sempadan negara itu ketika sidang media rasmi pertamanya.

Lebih daripada 17,000 kanak-kanak ditahan di pusat tahanan kerajaan dan Biden dicabar sama ada polisinya berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan kedatangan mereka.

Biden bagaimanapun mempertahankan rekodnya dan berjanji untuk bersikap telus.

Beliau menyalahkan bekas Presiden, Donald Trump kerana menyebabkan krisis kemanusiaan yang meruncing di selatan sempadan dan adalah normal untuk AS mengalami kebanjiran pendatang asing ketika musim sejuk.

“Secara jujurnya berkenaan perkara ini, tiada apa yang berubah. Alasan mereka datang pada waktu seperti ini supaya dapat mengelakkan diri mereka daripada cuaca panas di padang pasir,” ujar Biden.

Biden turut menyalahkan keadaan di negara asal pendatang tersebut, termasuklah bencana alam, kekurangan peluang pekerjaan dan jenayah.

Ketika ditanya bilakah beliau akan membuka pusat tahanan untuk wartawan, Biden berkata akan bersikap telus.

“Anda akan mempunyai akses kepada segalanya,” jelasnya tetapi tidak memberikan sebarang butiran lebih lanjut.

Sidang media rasmi yang berlangsung selama satu jam itu turut membincangkan pelbagai isu termasuklah isu senjata kepada dasar luar.

Biden sebelum ini turut mencetuskan spekulasi tentang rancangannya untuk bertanding pada pilihan raya Presiden 2024 namun persoalan itu masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat