Biden Lontar Amaran Keras Kepada Rusia

559

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memulakan lawatan luar rasmi yang pertama dengan melontarkan amaran kepada Rusia bahawa negara itu akan berdepan tindakan sewajarnya jika terbabit dalam ‘aktiviti yang berbahaya’.

Biden dijadualkan akan bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Geneva selepas selesai menghadiri mesyuarat pemimpin-pemimpin G7 dan sidang kemuncak Nato.

Menurut White House, Biden akan membangkitkan pelbagai isu bersama Putin termasuklah kawalan senjata, perubahan iklim, pembabitan tentera Rusia di Ukraine, aktiviti penggodaman siber Rusia dan penahanan ketua pembangkang Rusia, Alexei Navalny.

Tegas Biden, beliau akan menyampaikan mesej yang jelas kepada Putin.

“Kita bukan mencetuskan konflik dengan Rusia. Kita mahukan hubungan yang stabil tetapi saya telah menjelaskan, AS akan bertindak sekiranya kerajaan Rusia terbabit dalam aktiviti yang berbahaya,” ujar Biden.

Hubungan antara Washington dan Moscow kian meruncing berikutan beberapa isu.

April lalu, Putin mendakwa kuasa besar Barat cuba menuding jari kepada Rusia dan memberi amaran kepada mereka agar ‘tidak melampaui batas’.

Biden sebelum ini menyatakan niatnya untuk memperkukuhkan hubungan dengan sekutu AS, berikutan berlakunya hubungan yang tegang ketika di bawah pemerintahan bekas Presiden, Donald Trump.

Biden tiba di United Kingdom semalam dan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson untuk memeterai perjanjian baharu ‘Atlantic Charter’.

Perjanjian itu merupakan versi moden yang sebelum ini ditandatangani antara bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan bekas Presiden AS, Franklin Roosevelt pada 1941.

Perjanjian berkenaan memfokuskan kepada pelbagai cabaran termasuklah perubahan iklim serta isu keselamatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat