BNM Kekal OPR 1.75%

240

Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 1.75% selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) diadakan hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM, ekonomi global dilihat terus pulih, didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pembuatan dan eksport.

Walau bagaimanapun, ujar BNM, peningkatan semula kes Covid-19 baru-baru ini dan langkah-langkah pencegahan telah mempengaruhi aktiviti ekonomi di beberapa sektor ekonomi utama.

Tambah kenyataan itu lagi, pelaksanaan segera program vaksinasi secara besar-besaran bersama-sama sokongan dasar yang berterusan, dijangka akan meningkatkan prospek pertumbuhan global.

“Bagi Malaysia, peningkatan kes Covid-19 dan pengenalan langkah-langkah yang bersasar akan memberi kesan kepada momentum pemulihan bagi suku keempat 2020.

“Akibatnya, pertumbuhan untuk tahun 2020 dijangka berada paras lebih rendah dalam julat unjuran awal,” kata kenyataan terbabit.

Jelas BNM, untuk tahun 2021, pengenalan semula langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat bakal memberi impak yang lebih buruk berbanding yang dialami pada tahun 2020 dengan trajektori pertumbuhan diramalkan akan bertambah baik daripada suku kedua dan seterusnya.

“Peningkatan itu akan dipacu oleh pertumbuhan dalam permintaan global, peralihan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan berterusan langkah-langkah polisi dan pengeluaran tinggi daripada kemudahan pembuatan dan perlombongan sedia ada serta baharu,” ujar kenyataan itu lagi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat