BNM Kekalkan Kadar OPR Di Paras 1.75%

245

Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% selepas dilihat menurunkan OPR sebanyak empat kali sebelum ini pada tahun ini.

Perkara itu diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini selepas melihat aktiviti ekonomi negara terus pulih daripada paras terendah pada bulan April lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh BNM, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan bahawa keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.

Malahan pakej rangsangan fiskal turut menyokong pemulihan ekonomi, di samping langkah-langkah monetari dan kewangan.

Ujar BNM, peningkatan ini dijangka berterusan pada tahun 2021, disokong oleh pemulihan permintaan luar negeri dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta.

Walau bagaimanapun, jelas BNM, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja.

Tambah kenyataan tersebut, prospek pertumbuhan ekonomi adalah tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan pandemik pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Selain itu, BNM menjangkakan tekanan inflasi dijangka terus sederhana pada tahun 2020.

“Purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah, dan berpurata lebih tinggi pada tahun 2021,” menurut kenyataan itu.

Ujar BNM lagi, pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

BNM juga memaklumkan akan terus komited menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Sementara itu, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat