BOC Kekalkan Kadar Faedah, Tumpuan Masih Terarah Pada Isu Perang Dagang AS-China

267

Matawang dolar Amerika Syarikat diniagakan stabil pada Khamis berikutan ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China yang semakin meningkat mendorong para pelabur untuk mengambil langkah yang lebih selamat dengan beralih ke arah aset safe-haven, termasuk hasil bon kerajaan.

Dengan tanda-tanda yang menunjukkan masih tiada jalan penyelesaian untuk kedua-dua ekonomi gergasi dunia itu, kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global telah turut menjejaskan pasaran kewangan pada sesi-sesi yang terdekat ini, dengan aset berpulangan tinggi akan menerima kesan yang negatif.

Akhbar tempatan China pada Rabu telah menyatakan amaran bahawa Beijing bakal menggunakan elemen nadir bumi atau ‘rare earth’ untuk bertindak balas terhadap ancaman yang dikenakan Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump membuat kenyataan bahawa beliau masih belum bersedia untuk meneruskan rundingan dagangan bersama China buat masa ini.

Pelabur akan memberi fokus terhadap data ekonomi Amerika Syarikat hari ini untuk mengukur tahap kesihatan ekonomi terbesar dunia itu. Bacaan anggaran kedua untuk suku tahun pertama bagi kadar pertumbuhan domestik akan menjadi tumpuan dan begitu juga bagi data tuntutan pengangguran mingguan di Amerika Syarikat.

Dagangan dolar juga turut disokong oleh kelemahan pada matawang Euro berikutan perkembangan terbaru yang menunjukkan ketegangan politik di antara Itali dan Kesatuan Eropah.

Suruhanjaya Eropah pada Rabu meminta kerajaan Itali untuk menjelaskan kemerosotan kewangan negara tersebut, langkah yang dilihat akan menimbulkan pertikaian dengan gabungan euroskeptik di Rom.

Pound Sterling pula didagangkan di sekitar paras terendah empat bulan pada Rabu dengan waktu untuk Theresa May berundur dari jawatannya semakin hampir. Pelabur juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi pergerakan harga yang tidak menentu buat GBP untuk dagangan bulan yang berikutnya.

Theresa May akan melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif pada 7 Jun ini dan calon yang dilihat akan menggantikan beliau iaitu Boris Johnson telah memberi petunjuk bahawa mereka bersedia untuk menghadapa situasi ‘no-deal’ Brexit jika Brussels tidak akan membuka semula rundingan Brexit.

Dari sudut lain, Sterling akan disokong oleh jangkaan peluang referendum Brexit yang kedua diikuti dengan prestasi cemerlang parti-parti pro-EU pada pilihanraya parlimen Eropah yang berlangsung minggu lalu. Parlimen UK juga turut kuat menentang keputusan ‘no-deal’ Brexit.

Apa yang menjadi tumpuan pelabur pada dagangan semalam adalah kepada keputusan mesyuarat dasar oleh Bank of Canada (BOC) di mana kadar faedah telah dikekalkan di paras 1.75% untuk bulan Mei seperti yang telah dijangkakan oleh pasaran.

Dagangan Loonie turut dilihat menunjukkan sedikit penurunan berbanding matawang utama yang lain selepas keputusan kadar faedah dikeluarkan oleh bank pusat.

Matawang komoditi dolar AUD dan NZD juga masih didagangkan kemah dan kekal berada dalam kelompok dagangan yang berisiko berikutan terkesan pada perkembangan perang dagang AS-China yang berterusan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat