BOJ Pertingkatkan Pembelian Bon Tanpa Had, Kadar Faedah Tidak Berubah

290

Mesyuarat polisi Bank of Japan (BOJ) yang sepatutnya diadakan pada hari Selasa, dijadualkan semula hari ini dengan keputusan kadar faedah bank pusat kekal pada -0.1% dan meningkatkan rangsangan monetarinya sebagai menyokong usaha kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi daripada kesan coronavirus.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BOJ mengatakan akan membeli bon kerajaan mengikut jumlah yang diperlukan tanpa menetapkan had. Ini mengingatkan kembali pasaran kepada pengumuman Federal Reserve (Fed) AS pada bulan lalu yang mengambil keputusan yang sama untuk menyokong ekonomi Amerika Syarikat.

Bank pusat juga akan meningkatkan tiga kali ganda pembelian jumlah bon korporat dan kertas komersial kepada ¥20 trilion ($186 bilion), dengan harapan ia dapat meredakan tekanan pembiayaan korporat.

Sementara itu, untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, BOJ turut melonggarkan peraturan jaminan yang membolehkan bank komersial mengakses program rangsangannya dengan tujuan meningkatkan pinjaman kepada perniagaan tersebut.

BOJ juga akan menawarkan kadar faedah 0.1% sebagai insentif kepada untuk baki akaun semasa yang dimiliki oleh institusi kewangan di BOJ yang menggunakan skim pinjamannya.

Selain itu, bank pusat turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya dengan meramalkan penguncupan sebanyak 3% hingga 5% untuk tahun fiskal bermula bulan ini. BOJ juga mengunjurkan harga pengguna jatuh sebanyak 0.3% hingga 0.7% pada tahun ini.

Anggaran dalam unjuran oleh BOJ menunjukkan tahap ketidakpastian yang tinggi terhadap sejauh mana kesan pandemik coronavirus kepada ekonomi Jepun.

Gabenor BOJ, Haruhiko Kuroda yang berucap selepas mesyuarat polisi diadakan, memberitahu bahawa risiko ekonomi dan harga menunjukkan kecenderungan ke arah penurunan berikutan penularan pandemik coronavirus di seluruh dunia telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi Jepun.

Tambah beliau lagi, sasaran inflasi bank pusat untuk mencapai paras 2% masih dikekalkan, namun ia mungkin tidak dapat dipenuhi mengikut tempoh ramalan dan dijangka akan memakan masa yang lebih lama.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat