Boris Johnson Mungkin Lanjutkan Tempoh Peralihan Brexit – Pesuruhjaya EU

306

Pesuruhjaya perdagangan Kesatuan Eropah (EU), Phil Hogan mengatakan bahawa beliau menjangkakan Perdana Menteri UK Boris Johnson mungkin terpaksa memungkiri janjinya untuk tidak melanjutkan tempoh peralihan Brexit menjelang akhir tahun 2020.

Beliau berkata PM Johnson sebelum ini bermatian-matian menyatakan keengganannya untuk menangguhkan Brexit, tetapi akhirnya beliau tetap akur untuk berbuat demikian bagi mendapatkan persetujuan parlimen terhadap rang undang-undang pengeluaran Brexitnya.

Justeru, ia tidak mustahil bagi situasi itu untuk berulang kembali dalam usaha mencapai perjanjian dengan EU menjelang berakhirnya tempoh peralihan.

Kata-kata Hogan telah menyokong kenyataan Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen yang mengatakan PM Johnson perlu mempertimbangkan kembali penolakan beliau untuk menangguhkan tempoh peralihan Brexit.

Hal ini kerana, kebanyakan pakar perdagangan berpendapat bahawa pelanjutan adalah perlu kerana ia dilihat mustahil untuk berunding mengenai perjanjian perdagangan UK-EU dalam tempoh yang singkat iaitu hanya 11 bulan.

Hogan turut menyatakan perbincangan tentang hubungan masa depan EU-UK akan melibatkan pilihan yang rumit dan sukar. Bagaimanapun, terdapat aspek positif untuk membawa kemajuan dalam rundingan ini.

Klausa mengenai larangan pelanjutan tempoh peralihan dalam rang undang-undang pengeluaran Brexit akan dibahaskan oleh ahli parlimen pada minggu depan, di mana keputusannya dijangka berpihak kepada PM Johnson. Tindakan PM Johnson yang disifatkan sebagai melulu telah menyebabkan kekhuatiran terhadap no-deal Brexit kembali tercetus.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Phil Hogan memberitahu bahawa pihaknya akan bertemu dengan perunding perdagangan Amerika Syarikat pada pertengahan Januari untuk membincangkan isu yang telah menjejaskan hubungan antara dua negara itu.

Terdahulu, Amerika Syarikat telah mengenakan tarif ke atas beberapa barangan import EU dan mengancam Perancis disebabkan pelaksanaan cukai digital oleh negara itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat