Brexit Masih Bergelora, Tumpuan Hari Ini Pada Penetapan Kadar Faedah di Jepun

600

Matawang Pound Sterling berehat sebentar daripada pergerakan volatile harga minggu ini pada dagangan Jumaat selepas Parlimen UK mengundi secara majoriti untuk penangguhan Brexit dari Kesatuan Eropah yang dijadualkan pada penghujung Mac ini.

Ahli parlimen Britain telah meluluskan usul pilihan untuk menangguhkan sedikit tempoh masa atau lebih panjang jika tiada sebarang perjanjian dapat dipersetujui dalam tempoh masa yang diberikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Britain Theresa May telah mengadakan perjumpaan bersama para pemimpin Kesatuan Eropah pada Rabu dan Khamis dan dua kali undian untuk perjanjian Brexit beliau telah ditolak minggu ini.

Perkembangan semasa Brexit yang masih belum mampu memberikan gambaran yang jelas terus meletakkan dagangan Pound sebagai berisiko walaupun lonjakan harga berjaya dilakukan.

Turut menjadi perhatian pada dagangan hari ini adalah kepada penetapan kadar faedah dalam mesyuarat dasar monetari di Jepun.

Bank of Japan (BOJ) dijangka akan terus mengekalkan dasar monetari yang longgar di mana kadar faedah diramalkan kekal di paras -0.10%. Gabenor bank pusat, Kuroda turut menyatakan sebelum ini bahawa tiada keperluan untuk bank pusat keluar dari dasar monetari sedia ada buat masa ini.

Matawang komoditi dolar AUD pula mencatatkan penurunan harga semalam selepas terkesan oleh laporan kemungkinan persidangan di antara Amerika Syarikat dan China yang terbaru untuk menyelesaikan isu rundingan dagang bakal ditangguhkan.

Seperti mana yang diberitahu oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin semalam, perjumpaan antara Presiden Donald Trump bersama rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping yang dijadualkan pada penghujung Mac ini bakal ditangguhkan berikutan beberapa perkara yang perlu diperhalusi lagi sebelum rundingan diadakan.

Trump menyatakan berkemungkinan kesepakatan rundingan akan dicapai bersama China pada tiga atau empat minggu lagi.

Data ekonomi di Amerika Syarikat pada Khamis semalam secara keseluruhan dilihat tidaklah begitu teruk. Jumlah rakyat Amerika yang memohon borang faedah pengangguran meningkat lebih tinggi daripada jangkaan minggu lalu sementara data jualan ruma baru pula merosot pada bacaan bulan Januari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat