Buat Pertama Kali Sejak 1992, Ekonomi China Menguncup Akibat COVID-19

1,841

Ekonomi China mencatatkan penguncupan dalam pertumbuhan pada suku pertama tahun ini berikutan kelumpuhan aktiviti ekonomi yang disebabkan oleh penularan wabak pandemik coronavirus di negara itu. Ini merupakan penguncupan pertama dalam ekonomi China sejak tahun 1992.

Jabatan Perangkaan Negara China (NBS) hari ini melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun 2020 telah menguncup 6.8% berbanding tahun 2019, dan tersasar daripada unjuran pasaran untuk menguncup sebanyak 6.5%.

Penguncupan ketara ini akan menambahkan lagi tekanan kepada penggubal dasar yang berusaha untuk memulihkan ekonomi negara itu, lebih-lebih lagi penularan pandemik di seluruh dunia kini turut mengancam eksport China disebabkan kejatuhan permintaan global.

Selain itu, data NBS juga menunjukkan bahawa pada bulan Mac, ekonomi terus berada di bawah tekanan yang besar, dengan sektor perindustrian, jualan runcit dan pelaburan aset tetap masih mengalami kemerosotan selepas mencatat kejatuhan drastik sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Keluaran industri China bagi bulan Mac jatuh lebih rendah daripada yang dijangkakan iaitu kepada 1.1% daripada tahun sebelumnya. Sementara jualan runcit jatuh 15.8% pada tempoh yang sama dan pelaburan aset tetap pula menyusut 16.1% pada tiga bulan pertama tahun ini.

China terpaksa menghentikan aktiviti ekonomi pada akhir Januari susulan penularan wabak coronavirus telah mula merebak dengan luas di seluruh negara. Hal ini kemudiannya berlanjutan sehingga sepanjang Februari dengan semakin banyak kilang dan perniagaan yang ditutup, sementara rakyat terpaksa menjalani perintah berkurung.

Seterusnya, proses pembukaan semula perniagaan pula mula dilakukan pada bulan Mac memandangkan peningkatan kes dan kematian harian semakin berkurangan. Bagaimanapun, proses pemulihan ini dikatakan lebih perlahan dan kadar pulangan hanya meningkat hingga sekitar 90% pada akhir bulan tersebut, menurut anggaran Bloomberg.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat