Bursa Gagal Kekal Momentum Awal Pagi Semasa Permulaan Minggu

122

Pada jam 9 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.27 mata pada 1,584.70 daripada penutupan Jumaat pada 1,589.01.

Indeks dibuka kukuh 2.63 mata pada 1,591.64.

Ia dibuka pada kawasan hijau namun kembali merah menjelang penerbitan data perdagangan Malaysia untuk Mac pada hari ini.

Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi pada 177 mengatasi untung pada 144, manakala 232 kaunter pula tidak berubah, 1,696 tidak didagangkan dan 24 digantung.

Jumlah perolehan pada 158.59 juta unit bernilai RM72.06 juta.

Nota Kenanga Investment Bank Bhd memperingatkan mengenai data perdagangan luar bulan Mac yang akan dikeluarkan pada lewat hari ini.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan sektor pengguna dan penerbangan terus memberi manfaat kepada ekonomi tempatan di sebalik risiko luaran yang terus membelenggu dunia.

Tambahnya lagi, pelabur perlu memberi perhatian kepada data ekonomi China yang juga akan dikeluarkan hari ini serta kadar inflasi Malaysia bagi mengukur arah kadar faedah Bank Negara Malaysia pada akhir minggu.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Public Bank Bhd jatuh 2 sen pada RM8.77 dan RM4.65, Petronas Chemicals Group Bhd hilang 10 sen pada RM10.22 dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd susut 9 sen pada RM6.43 sementara IHH Healthcare Bhd kekal pada RM6.40.

Saham aktif memperlihatkan Cengild Medical Bhd naik 14 sen pada 47 sen, Avillion Bhd tambah 0.5 sen pada 9.5 sen, OCR Group Bhd capai 1 sen pada 12.5 sen dan Techna-X Bhd kekal pada 9.5 sen sementara Vortex Consolidated Bhd jatuh 0.5 sen pada 18.5 sen.

Di papan indeks, indeks FBMT 100 menurun 27.35 mata pada 11,033.99, indeks FBM Emas melemah 15.0 mata pada 11,398.70, indeks FBM Emas Shariah menguncup 6.83 mata pada 12,040.74, FBM 70 terjatuh 24.54 mata pada 13,756.81 dan FBM ACE mengurang 5.82 mata pada 5,780.68.

Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan menurun 0.54 mata pada 213.93, indeks Perkhidmatan Kewangan tergelincir 39.71 mata pada 16,596.29 sementara indeks Perladangan mengumpul 33.38 mata pada 8,388.65.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat