Bursa Malaysia Dibuka Rendah, Bawah Paras 1,600

158

Sesi awal dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah dengan FBM KLCI di bawah paras 1,600 mata berikutan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2019 pada hari ini serta kebimbangan terhadap isu perang dagangan Amerika Syarikat dan China yang masih berlanjutan.

Pada 9.50 pagi, petunjuk aras utama FBM KLCI turun 5.92 mata kepada 1,594.37 daripada 1,600.29 ketika ditutup pada Khamis.

Secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu masing-masing dengan 174 dan 156 manakala 241 kaunter tidak berubah.

KDNK bagi suku kedua 2019 yang akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia hari ini menyebabkan pelabur berhati-hati untuk memasuki pasaran. Hasil yang diumumkan kelak akan mempengaruhi prestasi dalam pasaran hari ini.

Selain itu, ketidaktentuan prestasi di pasaran Asia juga mempengaruhi keadaan di bursa tempatan. Amerika Syarikat dan China yang mengeluarkan mesej bertentangan mengenai pertikaian perdagangan membuatkan kebimbangan terhadap ekonomi dunia bertambah, menurut Reuters.

Nikkei Jepun mengalami penyusutan sebanyak 0.18%, Kospi Korea Selatan susut 0.81% dan Han Seng Hong Kong pula turun 0.04% manakala Indeks Komposit Shanghai catat peningkatan 0.25%

Antara saham yang mengalami kerugian di bursa tempatan ialah Nestle turun 10 sen kepada RM147.60, F&N susut 8 sen kepada RM34.40 dan BAT rugi 18 sen kepada RM22.46.

Selain itu, Hong Leong Bank rugi 8 sen kepada RM16.96 dan RHB Bank pula susut 7 sen kepada RM5.45.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat